SURABAYA: Seorang warga emas berusia 66 tahun digigit anjing milik jirannya sehingga menyebabkan kulit di bahagian paha, lutut dan pinggang kanannya terkoyak.
Lapor Tribunnews, anjing tersebut terlepas dari tali dan pengawasan pemilik sehingga menyerang mangsa.
Jerita mangsa yang menahan kesakitan menyebabkan pemilik haiwan itu keluar rumah dan hanya meminta maaf kepada mangsa.
Lebih mengejutkan apabila jiran tersebut bukannya meredakan keadaan, malah bertindak memaki dan mengugut mangsa.
Disebabkan tiada jalan penyelesaian yang baik, mangsa melaporkan kejadian itu ke Pejabat Polis Surabaya.
Peguam mangsa, Abdul Malik memberitahu pemilik anjing itu mengugut mangsa dengan sebuah pistol dan mahu membakar rumahnya.
“Suspek juga berlagak dengan tidak hairan sekiranya mangsa mahu melaporkan kes tersebut kepada polis kerana dia mampu memberikan wang satu bilion rupiah (RM300,000) untuk menyelesaikan kes itu.
“Saya berharap kes tersebut disiasat segera oleh pihak polis kerana mangsa bukan sahaja menahan sakit akibat digigit anjing, tetapi menerima perlakuan tidak wajar daripada pemilik binatang itu,” katanya.










