ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan beliau hanya akan menerima penyertaan Sweden dan Finland ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sekiranya kedua-dua negara itu bersetuju dengan isu-isu dasar terutamanya melibatkan penentangan terhadap keganasan.
Erdogan menjelaskan, Ankara tidak akan melihat ‘positif’ terhadap tawaran NATO melainkan kebimbangannya terhadap kedua-dua negara itu ditangani, walaupun usul tersebut mendapat sokongan meluas daripada sekutu lain, termasuk Amerika Syarikat.
Tuntutan tersebut dinyatakan menerusi panggilan telefon bersama Ketua NATO, Jens Stoltenberg.
Stoltenberg menerusi Twitter memaklumkan beliau menjelaskan Recep Tayyip adalah ‘sekutu yang dihargai’ terhadap kepentingan ‘Pintu Terbuka NATO’.
“Kami setuju kebimbangan keselamatan semua pihak berkait mesti diambil kira dan perbincangan mesti diteruskan untuk mencari penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, Recep Tayyip enggan menerima kehadiran delegasi dari Sweden dan Finland ke negara itu.
Sebaliknya, beliau hanya membuat panggilan telefon dengan Presiden Finland, Sauli Niinisto dan Perdana Menteri Sweden, Magdalena Anderson.
Recep Tayyip menggesa kedua-dua pemimpin negara itu menghentikan sokongan kewangan dan poltiik kepada kumpulan pengganas yang mengancam keselamatan negara.
Beliau malah menggesa Sweden menarik balik sekatan eksport senjata pertahanann yang dikenakan terhadap Ankara berhubung pencerobohan Turki di utara Syria, 2019.
Pejabat Presiden Turki dalam kenyataan menyakini Stockholm akan mengambil ‘langkah konkrit dan serius’ terhadap Parti Pekerja Kurdish atau PKK dan kumpulan lain yang dianggap sebagai pengganas oleh Ankara.-ALJAZEERA