fbpx

30 Jun 2022, 8:30 am

  TERKINI

Singapura tak terjejas Malaysia hentikan eksport ayam

PEKERJA meletakkan stok ayam yang dijual di premis FairPrice di Bedok Mall.-CNA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Negara ini kekal optimis dan bersikap tenang dengan situasi bekalan ayam yang kian terhad lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Malaysia mengumumkan untuk menghentikan eksport ayam. 

Lapor Channel News Asia, rakyat juga diminta supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan ayam beku Singapura adalah mencukupi. 

Menteri Kestabilan dan Alam Sekitar, Desmond Tan berkata, tabiat membeli ayam melebihi keperluan boleh menyebabkan isu kekurangan bekalan timbul.  

“Jika kita buat pembelian panik, ia akan menyebabkan bekalan stok tidak mencukupi. 

“Jadi rakyat Singapura perlu bersedia dengan beberapa jenis gangguan akibat pembangunan geopolitik atau perubahan iklim.

“Oleh itu, kita perlu berdaya tahan, menyesuaikan diri, kekal tenang dan bersatu. Saya pasti kita dapat mengharungi sebarang cabaran,” katanya semasa melakukan lawatan ke pusat pengedaran makanan segera NTUC FairPrice di Jalan Upper Thomson.

Menurut Tan, sebanyak 70 peratus ayam import Singapura adalah jenis beku yang ditempah dari banyak negara. 

Katanya, kerajaan juga berusaha mempelbagaikan sumber pembekal makanan setiap tahun. 

Jelasnya, sumber pembekal lain termasuk Thailand, Australia, New Zealand, Brazil dan Amerika Syarikat.

BEKALAN AYAM CUKUP

Sementara itu, FairPrice yang merupakan rantaian pusat beli belah terbesar memaklumkan bekalannya mampu bertahan selama empat bulan dan bekalan baharu bagi stok dua bulan seterusnya akan tiba dalam masa terdekat. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu, Elaine Heng berkata, pihaknya bekerja rapat dengan rakan strategik termasuk agensi kerajaan untuk menambahkan bekalan ayam dari pelbagai sumber. 

“Kami ingin menggalakkan pelanggan supaya membeli ayam beku dan pilihan alternatif lain,” katanya.

Bermula 1 Jun lalu, Malaysia menghentikan eksport bekalan ayam selepas dilanda isu bekalan dan peningkatan harga. 

Menurut pemain industri dalam sektor ayam, antara faktor yang memberi kesan kepada peningkatan harga ayam ialah jangkitan penyakit dan perubahan cuaca. 

CARI PEMBEKAL LAIN

Singapura mengimport hampir 34 peratus bekalan ayam dari Malaysia. 

Kesan larangan eksport itu, peniaga ayam di pasar memberitahu mereka kehilangan 20 ke 70 peratus bekalan. 

Malah, pelanggan juga terpaksa membeli lebih banyak ayam sebagai persediaan lebih awal.  

Beberapa peniaga memberitahu mereka berkemungkinan terpaksa menutup premis buat sementara waktu sekiranya masalah bekalan ayam mentah masih berlaku sehingga menyebabkan kenaikan harga. 

Seorang pengimport ayam, Tan melahirkan kebimbangan untuk mencari pembekal lain. 

“Kami mencari sumber alternatif lain seperti Australia dan negara terdekat lain.

“Kami tak lihat harga ayam akan naik, tetapi kami akan terus memantau perkembangan bahan mentah itu,” katanya. 

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Singapura (CASE), Melvin Yong, bekalan ayam dan produk berkaitan secara umumnya adalah ‘stabil dan mencukupi’ di 16 pasar raya seluruh Singapura. 

Katanya, beberapa premis yang mempunyai bekalan yang rendah akan mencari alternatif di premis berdekatan yang lain.-CNA  

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI