Russia serang 40 bandar di timur Ukraine - Utusan Malaysia

Russia serang 40 bandar di timur Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Tentera Russia dilaporkan melancarkan serangan ke atas lebih 40 bandar yang terletak di wilayah Donbas di timur Ukraine.

Tindakan itu seolah-olah mengancam menutup laluan terakhir untuk orang awam yang terperangkap keluar dari kawasan pencerobohan yang kini memasuki bulan keempat.

Selepas gagal menawan Kyiv atau bandar kedua Kharkiv, Russia kini cuba mengawal Donbas sepenuhnya merangkumi dua wilayah timur yang dituntut Moscow bagi pihak kumpulan pemisah.

Russia mengerahkan ribuan tentera ke wilayah berkenaan dan menyerang dari tiga arah dalam cubaan mengepung tentera Ukraine yang bertahan di bandar Sievierodonetsk dan Lysychansk.

Kekalahan tentera Ukraine di kawasan itu bakal menyebabkan seluruh Luhansk jatuh ke tangan Russia.

“Tentera Russia membedil di lebih 40 bandar di wilayah Donetsk dan Luhansk sekaligus memusnahkan 47 kawasan awam termasuk 38 kediaman dan sebuah sekolah.

“Akibat serangan itu, lima orang awam maut dan 12 lagi cedera,” kata Pasukan Petugas Bersama angkatan tentera Ukraine di Facebook.

Jelasnya, sebanyak 10 serangan musuh berjaya dipatahkan, empat kereta kebal dan empat dron dimusnahkan serta 62 tentera musuh dibunuh.

Sementara itu, lapor Al Jazeera, Gabenor Donetsk, Pavlo Kyrylenko berkata, sekurang-kurangnya 431 orang awam terbunuh dan 1,168 lagi cedera di wilayah itu sejak insiden pencerobohan Russia bermula.

Bagaimanapun, katanya, jumlah mangsa maut atau cedera di Mariupol dan bandar Volnovakha masih belum diketahui.

“Tentera Russia membunuh dan memusnahkan bangunan penempatan Donetsk sehingga menyebabkan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal,” katanya di Telegram.

Sebelum ini, seorang penasihat kepada Datuk Bandar Mariupol memaklumkan majlis perbandaran menganggarkan sekurang-kurangnya 22,000 orang awam maut dalam tempoh tiga bulan pencerobohan Russia di Ukraine. – REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.