Russia lumpuhkan bekalan senjata Ukraine - Utusan Malaysia

Russia lumpuhkan bekalan senjata Ukraine

KEPULAN asap tebal keluar dari sebuah depoh simpanan bekalan yang terbakar di kampung Temyrivka akibat serangan Russia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Tentera Russia melancarkan serangan ke atas beberapa stesen kereta api dan pusat bekalan utama termasuk depoh simpanan senjata di seluruh Ukraine.

Serangan itu dibuat ketika Kesatuan Eropah (EU) merancang untuk mengenakan sekatan terhadap import minyak Russia kerana melakukan operasi ketenteraan di Ukraine.  

Memetik laporan agensi berita AP, tentera Russia melancarkan peluru berpandu dari laut dan udara untuk memusnahkan kemudahan tenaga elektrik di lima stesen kereta api di Ukraine.

Malah, jelas laporan itu, pasukan Russia turut melancarkan serangan udara dan artileri menyasarkan beberapa kubu kuat tentera serta depoh penyimpanan bahan api dan senjata.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Russia, Jeneral Igor Konashenkov berkata, serangan ke atas infrastruktur kereta api itu bertujuan mengganggu penghantaran senjata Barat ke Ukraine.

Menteri Pertahanan Sergei Shoigu memaklumkan negara Barat membekalkan Ukraine dengan pelbagai senjata.

Kemasukan pelbagai bekalan senjata ke Ukraine membantu tentera negara itu menggagalkan usaha Russia untuk merampas KYiv.

Malah, langkah itu turut memainkan peranan dalam pertempuran yang semakin meningkat di wilayah Donbas. 

Ukraine sebelum ini memohon Barat membekalkan senjata berat dengan menjanjikan tentera Kyiv mampu memberi tentangan balas dengan kekuatan persenjataan yang mencukupi. 

Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata, kerajaannya sedang mempertimbangkan untuk membekalkan howitzer sebagai tambahan kepada senjata anti-pesawat Gepard dan peralatan lain yang dipersetujui untuk dihantar. 

* GENCATAN SENJATA MARIUPOL

Gencatan senjata yang diumumkan oleh Russia mula dilaksanakan di sebuah kilang keluli di bandar Mariupol.

Gencatan senjata itu dilaksanakan bagi membolehkan penduduk awam Ukraine yang berlindung di kilang itu keluar menyelamatkan diri. 

Kementerian Pertahanan Russia mengumumkan gencatan senjata selama tiga hari untuk memindahkan orang awam dari kawasan perindustrian Azovstal itu.

“Tentera Russia akan membuka koridor kemanusiaan dari pukul 8 pagi hingga 6 petang (waktu Moscow) pada 5,6 dan 7 Mei di tapak kilang Azovstal,” jelasnya.

* OPERASI PEMINDAHAN 

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, operasi pemindahan di Mariupol menyaksikan seramai 344 penduduk lagi dari bandar itu dibawa ke wilayah Zaporizhzhia.

“Mereka akan menerima bantuan yang diperlukan serta penjagaan dari kerajaan,” katanya dalam satu video ucapan. – AP/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya