WASHINGTON: Sudah lebih dua bulan Russia menghantar tenteranya menyerang Ukraine dan rancangan perang itu tidak berlangsung seperti yang diharapkan oleh Presidennya, Vladimir Putin apabila Moscow berdepan tentangan hebat daripada tentera Ukraine.
Pasukan tentera Rusia tidak mendominasi ruang udara Ukraine, malah daratan Ukraine juga gagal dikuasai Moscow, selain negara itu berdepan sekatan ekonomi besar-besaran oleh pelbagai pihak di seluruh dunia.
Kepincangan dalam rancangan perang Russia dapat dilihat apabila Moscow menarik balik tenteranya dari Kyiv dan menghantar mereka ke timur Ukraine.
Pada Mac lalu, Russia buat kali pertama mengumumkan fasa pertama rancangan perang mereka sudah ‘selesai’ dan akan beralih ke ‘matlamat utama’ iaitu membebaskan wilayah Donbas.
PUTIN SEDIA TAMATKAN PERANG?
Selepas semua yang berlaku, boleh dikatakan Russia sudah pun mencapai matlamat mereka, kecuali menguasai perairan Ukraine.
Putin juga boleh mendakwa beliau ‘berjaya’ menyelamatkan kumpulan pemisah pro-Russia di Donbas daripada ‘rejim Nazi Ukraine.
Persoalannya, sekiranya semua misi Russia sudah dicapai, adakah Putin bersedia untuk mengakhiri perang?
Sehingga kini, tiada mana-mana pemimpin dunia berjaya yakinkan Putin untuk tamatkan konflik yang berlaku, malah tiada dalam kalangan mereka memahami apa sebenarnya yang diingini oleh beliau.
PUTIN SEDAR RUSSIA BOLEH KALAH
Putin tidak akan mempertimbangkan gencatan senjata atau menghentikan operasi ketenteraan jika beliau yakin Russia akan menang dalam peperangan yang berlaku.
Namun, terdapat banyak tanda bahawa Russia mula hilang rentak berikutan ramai anggota tentera terkorban dan tidak mampu menggantikan jentera perang yang musnah dalam pertempuran.
Disebabkan itu, sudah jelas mengapa Putin tidak mengisytiharkan perang skala besar pada Hari Kemenangan yang disambut baru-baru ini.