BERLIN: Seorang maut dan lebih 50 penduduk cedera termasuk 10 dalam keadaan parah selepas puting beliung membadai Jerman.
Media tempatan melaporkan lelaki berusia 38 tahun dari bandar Wittgert meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik selepas terjatuh di bilik bawah tanah yang dinaiki air.
Puting beliung yang membawa angin kuat sehingga 130 kilometer sejam (km/j) melanda bandar Paderborn pada awal pagi sehingga memusnahkan sebuah kedai perabot.
Menurut jurucakap polis, puting beliung itu turut menyebabkan kerosakan besar di bandar itu yang terletak di negeri Rhine-Westphalia Utara.
Pasukan keselamatan memaklumkan banyak bumbung terbang dan pokok tumbang di kawasan sekitar bandar itu akibat puting beliung berkenaan.
Sementara itu, sebuah pondok kayu runtuh sehingga mencederakan 14 orang termasuk kanak-kanak di wilayah selatan Central Franconia.
Seorang wanita berusia 37 tahun yang parah dibawa ke hospital menerusi helikopter.
Pelancong di Spalt mencari tempat berlindung di pondok tersebut daripada bencana itu yang menghampirinya sebelum ia runtuh.
Pengangkutan awam termasuk kereta api terganggu akibat bencana itu.
Polis juga menggesa orang ramai untuk kekal berada di rumah agar tidak membahayakan diri mereka.
Sebelum ini, pakar meteorologi memberi amaran dan meramalkan ribut angin sehingga 130 km/j dijangka berlaku di beberapa kawasan di Jerman. – AGENSI/REUTERS