Pesawat AS bawa susu bayi dari Jerman atasi kekurangan bekalan

Pesawat AS bawa susu formula bayi dari Jerman atasi kekurangan bekalan

PESAWAT C-17 Globemaster III yang membawa bungkusan susu formula bayi berlepas dari pangkalan udara AS di Ramstein, Jerman. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sebuah pesawat kargo tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan membawa muatan mengandungi puluhan tan susu formula bayi dari Jerman bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan itu di negara tersebut.

Menurut White House, pesawat kargo itu tiba di sebuah lapangan terbang di Indiana.

Pesawat C-17 berlepas dari pangkalan udara AS di Ramstein, Jerman dengan membawa lebih 31,750 kilogram (kg) susu formula bayi dalam bentuk serbuk.

Presiden AS, Joe Biden memuat naik satu hantaran mengenai penerbangan tersebut di laman Twitter.

“Pasukan kami bekerja sepanjang masa untuk mendapatkan susu formula bayi selamat yang amat diperlukan ketika ini,” kata Biden yang berada di Jepun dalam lawatan kerja Asia selama lima hari.

Kekurangan susu formula bayi gred perubatan berpunca daripada isu pengeluaran dan rantaian bekalan sehingga mencetuskan masalah besar kepada ribuan ibu bapa yang bergantung pada bekalan produk itu. 

Sementara itu, penasihat ekonomi presiden Biden iaitu Brian Deese dalam satu temubual di CNN berkata, penghantaran awal itu merangkumi kira-kira 15 peratus daripada keperluan segera.

Tambahnya, lebih banyak penghantaran akan tiba pada awal minggu ini, yang merupakan sebahagian program dikenali sebagai Operation Fly Formula.

Bekalan susu formula bayi itu diterbangkan ke Indiana kerana ia merupakan hab Nestle yang merupakan pengeluar domestik utama.

Kualiti susu formula bayi tersebut akan diuji di makmal berhampiran sebelum diedarkan.

Krisis kekurangan susu formula bayi selama beberapa bulan lalu bukan sahaja berpunca daripada masalah rantaian bekalan dikaitkan dengan pandemik Covid-19, malah disebabkan penutupan kilang pengeluar formula terbesar AS di Michigan yang dimiliki Abbott Laboratories.

“Pengeluar yang tidak mematuhi peraturan. Oleh itu, susu formula dihasilkan mempunyai risiko untuk membuatkan bayi jatuh sakit.

“Jadi, kami terpaksa mengambil tindakan,” kata Deese. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya