Perang Ukraine punca ikan lumba-lumba mati meningkat - Utusan Malaysia

Perang Ukraine punca ikan lumba-lumba mati meningkat

AKTIVITI ketenteraan secara berterusan boleh menyebabkan spesies cetacea beralih ke arah selatan menuju pantai Turki dan Bulgaria. - SELIN UGURTAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Sekumpulan pakar mendakwa peningkatan kes ikan lumba-lumba yang mati di Laut Hitam baru-baru ini, berpunca daripada insiden pencerobohan Russia di Ukraine.

Penyelidik percaya pencemaran bunyi dicetuskan oleh 20 kapal tentera laut Russia dan aktiviti ketenteraan berterusan di utara Laut Hitam berkemungkinan menyebabkan spesies cetacea itu beralih ke arah selatan ke pantai Turki dan Bulgaria.

Keadaan itu menyebabkan lebih banyak ikan lumba-lumba terdampar atau terperangkap di dalam pukat ikan.

Sejak insiden pencerobohan bermula, Turki merekodkan peningkatan kes ikan lumba-lumba biasa (Delphinus delphis) terdampar di seluruh pantai Laut Hitam.

Memetik laporan The Guardian, Yayasan Penyelidikan Marin Turki (Tudav) mendapati lebih 80 ekor ikan lumba-lumba ditemukan mati di seberang Laut Hitam.

Tudav menyifatkan kes kematian tersebut sebagai peningkatan luar biasa.

Siasatan awal Tudav mendedahkan kira-kira separuh daripada ikan lumba-lumba itu ditemukan maut selepas terjerat dalam pukat ikan.  

Pengerusi Tudav, Dr. Bayram Öztürk bagaimanapun berkata, punca kematian separuh lagi ikan lumba-lumba itu masih menjadi persoalan.

Jelasnya, tiada tanda ikan itu terjerat mahupun kesan ditembak ditemukan pada bangkai tersebut.

“Trauma akustik mungkin menjadi salah satu penyebab.

“Kami tidak mempunyai bukti mengenai kesan sonar frekuensi rendah di Laut Hitam kerana tidak pernah melihat kapal sebanyak ini dan bunyi bising yang dicetuskan untuk tempoh yang lama.

“Sains sentiasa memerlukan bukti,” katanya. 

Tentera laut biasanya bergantung pada sonar untuk mengesan kapal selam musuh dari jarak jauh.

Oleh kerana ikan juga bergantung kepada bunyi untuk komunikasi dan fungsi lain, pencemaran bunyi dalam air boleh memberi kesan yang serius sehingga menyebabkan spesies itu mati.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN