KABUL: Kerajaan Taliban sekali lagi mengarahkan golongan wanita di Afghanistan supaya memakai burka.
Arahan itu diputuskan oleh pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada di sini kemarin dan diumumkan oleh Menteri Kebajikan dan Pencegahan Maksiat, Mohammad Khalid Hanafi.
“Golongan wanita perlu memakai burka sebagai tradisi di negara ini dan juga sebagai penghormatan,” katanya.
Lapor BBC, sekiranya golongan wanita tidak mematuhi arahan tersebut, penjaga lelaki mereka akan dikunjungi pihak berkuasa Taliban dan diberi nasihat untuk melakukannya.
Jika wanita di bawah jagaan mereka masih berdegil, maka penjaga lelaki berkenaan akan diheret ke mahkamah dan boleh dipenjara tiga hari.
Arahan terbaharu itu dijangka memberi tamparan kepada lebih 20 juta wanita di Afghanistan yang sebelum ini ‘hidup bebas dan menikmat keadilan yang sama’ ketika di bawah pentadbiran kerajaan yang disokong Amerika Syarikat (AS).
Hak dan kebajikan golongan wanita di negara ini sering menjadi perhatian pelbagai pihak sejak Taliban mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Ogos tahun lalu.
Taliban sebelum ini berjanji untuk memberi keistimewaan kepada golongan wanita termasuk peluang persekolahan kepada kanak-kanak perempuan.
Terdahulu, pelajar perempuan diarahkan pulang ke rumah masing-masing, beberapa jam selepas sekolah dibuka tanpa pemberitahuan yang jelas.
Kerajaan Taliban memaklumkan, keputusan itu dibuat kerana tiada guru wanita mencukupi untuk mengajar mereka.
Taliban tidak membenarkan pelajar perempuan dan lelaki bercampur di dalam satu kelas.
Sementara itu, Taliban turut melarang wanita melakukan perjalanan melebihi 72 kilometer tanpa ditemani penjaga lelaki, selain tidak dibenarkan berlakon atau menjadi penjawat awam.