TEL AVIV: Sebuah keluarga dari Amerika Syarikat (AS) mencetuskan panik di Lapangan Terbang Ben Gurion di Israel selepas didapati cuba membawa pulang peluru meriam lama sebagai cenderamata.
Lapor Oddity Central, kekecohan itu berlaku ketika keluarga berkenaan secara selamba menunjukkan peluru meriam dibawa di dalam beg mereka kepada pegawai keselamatan di pusat pemeriksaan lapangan terbang.
Salah seorang ahli keluarga tersebut dilaporkan menemukan bahan letupan itu ketika melawat Bukit Golan yang dijajah rejim Israel.
Ahli keluarga itu memutuskan untuk membawa pulang peluru meriam tersebut ke AS sebagai cenderamata.
“Lelaki itu mengeluarkan peluru meriam dari beg galasnya dan secara selamba menunjukkan kepada pegawai keselamatan.
“Dia bertanya kepada mereka sama ada bahan itu boleh dimasukkan ke dalam beg pakaian,” kata seorang saksi.
Setelah terkejut melihat peluru meriam itu, pasukan keselamatan segera mengarahkan orang ramai mengosongkan kawasan terminal lapangan terbang.
Arahan itu menyebabkan berlaku kekecohan di lapangan terbang tersebut.
Keluarga itu kemudian dibenarkan menaiki pesawat pulang ke AS selepas soal siasat singkat dilakukan.
Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan untuk membawa peluru meriam itu.