'Pekebun Malaysia tersenyum lebar, pekebun Indonesia menderita'

‘Pekebun Malaysia tersenyum lebar, pekebun Indonesia menderita’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: ‘Pekebun Malaysia tersenyum lebar, pekebun Indonesia menderita’. Itu antara sepanduk yang dibawa ratusan pekebun kecil Indonesia semasa melancarkan protes di Jakarta dan beberapa kawasan lain di negara itu, hari ini.

Demonstrasi itu bagi menuntut kerajaan menamatkan larangan eksport minyak sawit yang menjejaskan pendapatan mereka.

Pekebun bergerak bersama trak yang dipenuhi buah sawit dan berarak di luar pejabat Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia yang mengetuai pembuatan dasar kerajaan.

Indonesia yang merupakan pengeksport minyak sawit terbesar dunia, menghentikan penghantaran minyak sawit mentah dan beberapa produknya sejak 28 April lalu, dalam usaha mengawal lonjakan harga minyak masak tempatan yang menjejaskan pasaran minyak sayur-sayuran global.

Malaysia pula adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia dan menyasarkan untuk membekalkan kepada pasaran yang terkesan dengan larangan eksport Indonesia.

Dalam satu kenyataan, kumpulan pekebun kecil APKASINDO berkata, sejak pengumuman larangan eksport itu, harga buah sawit jatuh 70 peratus di bawah harga lantai yang ditetapkan pihak berkuasa serantau.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, melaksanakan larangan eksport minyak sawit dan produknya yang digunakan dalam penghasilan minyak masak, selepas beberapa dasar yang dilaksanakan gagal mengawal kenaikan harga barangan makanan asas bagi isi rumah.

Data Kementerian Perdagangan Indonesia menunjukkan, purata harga minyak masak pukal adalah 17,300 rupiah (RM5.19) seliter setakat Jumaat lalu.

Penunjuk perasaan turut merancang untuk berarak ke Istana Presiden Indonesia, selain protes sama turut diadakan di 22 wilayah lain.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya