Netflix buang 150 pekerja - Utusan Malaysia

Netflix buang 150 pekerja

NETFLIX kehilangan pelanggan buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Netflix memberhentikan seramai 150 pekerja ketika syarikat perkhidmatan penstriman itu berusaha mengurangkan kos.

Keputusan itu dibuat selepas Netflix mendedahkan syarikatnya dijangka kehilangan jutaan pelanggan pada separuh pertama tahun ini.

Memetik laporan The Guardian, pemberhentian itu sebahagian besar membabitkan operasi di Amerika Syarikat (AS) sekali gus menjejaskan pekerja di jabatan filem dan televisyen.

Bulan ini, nilai pasaran Netflix menurun hampir AS$60 bilion (RM264 bilion) berikutan pelabur panik pertumbuhan kukuh dalam perkhidmatan penstriman selama sedekad lalu sudah berakhir.

Syarikat itu melaporkan kehilangan pelanggan buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.

Setakat Disember lalu, Netflix mempunyai kira-kira 11,300 pekerja sepenuh masa, yang bermakna pemberhentian itu mewakili 1.3 peratus daripada tenaga kerja peringkat global.

Bulan lalu, syarikat itu memberhentikan kira-kira 25 pekerja dalam bidang pemasaran termasuk kontraktor yang berkhidmat kurang daripada setahun.

“Seperti dijelaskan, pertumbuhan pendapatan yang perlahan bermakna kami juga perlu memperlahankan pertumbuhan kos sebagai sebuah syarikat.

“Malangnya, kami terpaksa memberhentikan 150 pekerja yang kebanyakannya di AS.

“Perubahan ini didorong oleh keperluan perniagaan berbanding prestasi individu. Malah, sejumlah agensi kontraktor turut terjejas dengan keputusan ini,” kata jurucakap Netflix.

Netflix menyalahkan pertumbuhan pendapatan perlahan atas beberapa faktor termasuk penggantungan perkhidmatan di Russia susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN