Mahu bersaing dengan China, biden janji salur AS$150 juta kepada ASEAN - Utusan Malaysia

Mahu bersaing dengan China, biden janji salur AS$150 juta kepada ASEAN

PRESIDEN Amerika Syarikat, Joe Biden merakam gambar kenangan bersama barisan pemimpin ASEAN di depan White House di Washington. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden merasmikan perhimpunan pemimpin Asia Tenggara di sini kelmarin dan berjanji untuk membelanjakan AS$150 juta (RM659.5) dalam pelbagai sektor termasuk infrastruktur, keselamatan, perancangan berdepan pandemik dan usaha lain untuk menyaingi pengaruh China di rantau itu.

Biden memulakan sidang kemuncak dua hari bersama pemimpin ASEAN dengan mengadakan majlis malam bagi meraikan kedatangan mereka ke White House kelmarin, sebelum mesyuarat bersama Jabatan Negara AS yang berlangsung semalam.

Majlis itu dihadiri pemimpin serta delegasi dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Kemboja, Singapura, Thailand, Laos, Vietnam dan Filipina sebelum kesemua pemimpin merakam gambar kenangan bersama Biden.

Dalam pada itu, Biden berharap usaha tersebut dapat menunjukkan kepada negara terlibat bahawa Washington kekal fokus terhadap Indo-Pasifik dan cabaran yang dihadapi, termasuk China yang merupakan pesaing utama AS.

Pada November tahun lalu, China menjanjikan bantuan pembangunan sebanyak AS$1.5 bilion (RM6.6 bilion) kepada negara ASEAN selama tiga tahun untuk memerangi Covid-19 dan merangsang pemulihan ekonomi.

“Kami tidak meminta anda untuk memilih antara AS atau China, sebaliknya kami perlu meningkatkan penglibatan di Asia Tenggara,” kata seorang pegawai kanan AS kepada media.

Selain itu, bantuan kewangan baharu oleh AS itu meliputi pelaburan sebanyak AS$40 juta (RM176 juta) dalam infrastruktur dan AS$60 juta (RM264 juta) disalurkan bagi keselamatan maritim serta AS$15 juta (RM66 juta) untuk pembiayaan sektor kesihatan termasuk Covid-19. 

Bagi mengukuhkan keselamatan di kawasan perairan, Pengawal Pantai AS bakal menghantar kapal ke rantau Asia Tenggara untuk membantu menangani masalah berkaitan penangkapan ikan secara haram oleh nelayan China. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya