JAKARTA: Penduduk Jakarta menarik nafas lega apabila harga ayam yang dijual di kebanyakan pasar di bandar raya ini mula turun berbanding sebelum Aidilfitri.
Perkara itu juga diakui oleh peniaga yang memaklumkan harga ayam sudah turun dan volum pembelian semakin meningkat.
Seorang daripada peniaga ayam, Mulyani memaklumkan, harga ayam sebelum ini dijual pada harga 50,000 rupiah (RM15) sekilogram dan kini menurun kepada 45,000 rupiah (RM13) sekilogram.
“Bagi ayam seberat 1.6 kilogram, harga menurun sehingga 45,000 rupiah seekor dan bagi berat yang lebih ringan, harga boleh menjadi antara 31,000 hingga 28,000 rupiah (RM9 hingga RM8.40).
“Penurunan harga ini melegakan banyak peniaga makanan yang sebelum ini runsing harga ayam terlalu mahal sehingga ada yang terpaksa menutup kedai buat sementara waktu.
“Namun, situasi ini biasa berlaku, menyaksikan harga ayam turun naik, terutamanya menjelang musim perayaan,” katanya seperti yang dilaporkan Tribunnews.
Seorang lagi peniaga, Dewi memaklumkan, penurunan harga ayam yang berlaku sekarang mungkin tidak kekal bagi tempoh lama kerana ia dijangka meningkat lagi menjelang Hari Raya Aidiladha.
Jelasnya, permintaan yang tinggi dan bekalan kurang menyebabkan harga ayam mudah naik dan turun.
“Ada juga peniaga yang enggan menurunkan harga ayam kerana beranggapan harga akan naik semula selepas ini, terutamanya menjelang Aidiladha,” ujarnya.