DAVAO: Tiga pengawal keselamatan terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pusat mengundi di wilayah selatan Filipina.
Insiden itu berlaku ketika jutaan rakyat Filipina keluar mengundi pada pilihan raya presiden negara itu.
Menurut polis, kejadian itu berlaku sejurus selepas pengundian dijalankan di majlis perbandaran Buluan di pulau Mindanao.
Jurucakap polis wilayah Maguindanao, Mejar Roldan Kuntong berkata, seorang lagi pengawal keselamatan cedera dalam kejadian tembakan itu.
Bekas Datuk Bandar, Ibrahim Mangudadatu berkata, penduduk setempat yang berada di dalam pusat mengundi berkenaan bertempiaran lari menyelamatkan diri ketika insiden itu.
Kejadian itu berlaku selepas lima bom meletup di luar pusat mengundi di majlis perbandaran Datu Unsay sehingga menyebabkan sembilan orang tercedera. – AFP










