WEERAKETIYA: Sri Lanka memindahkan Mahinda Rajapaksa ke pangkalan tentera laut bertujuan menjaga keselamatannya selepas beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri.
Setiausaha Pertahanan Sri Lanka, Kamal Gunaratne berkata, pemindahan itu dilakukan susulan siri tunjuk perasaan ganas yang menyasarkan keluarga Rajapaksa yang didakwa menjadi punca kepada krisis ekonomi terburuk di negara ini.
Rakyat negara ini menyalahkan legasi Rajapaksa atas kemerosotan ekonomi di Sri Lanka yang sebelum ini mengurangkan rizab kepada hanya kira-kira AS$50 juta (RM219 juta), menghalang sebahagian besar import dan menyebabkan kekurangan besar-besaran bekalan makanan utama, bahan api serta ubatan.
“Mahinda sudah dipindahkan ke pangkalan tentera laut Trincomalee atas sebab keselamatan.
“Beliau akan kekal di sana sehingga keadaan kembali normal dan beliau akan dipindahkan ke lokasi yang diinginkannya,” kata Gunaratne dalam sidang akhbar.
Semalam, rumah keluarga Rajapaksa di Medamaulana dibakar perusuh yang terus bertindak ganas.
Sekumpulan penunjuk perasaan antikerajaan membakar rumah pemimpin ketika ketegangan terus memuncak.
Kediaman dan hartanah milik beberapa pemimpin lain turut menjadi sasaran penunjuk perasaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Gotabaya Rajapaksa berikrar untuk melepaskan sebahagian besar kuasa eksekutifnya, namun tidak akan tunduk kepada tuntutan terhadap peletakan jawatan.
Menerusi ucapan pertamanya, Gotabaya, 72, memaklumkan beliau akan mengumumkan kerajaan perpaduan dalam tempoh terdekat.
Bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk, Gotabaya melantik seorang ahli kanan parti pembangkang, Ranil Wickremesinghe sebagai Perdana Menteri Sri Lanka yang baharu.
Menurutnya, pemilihan itu dibuat berdasarkan situasi semasa selepas Gotabaya berjanji untuk melantik perdana menteri yang akan mempunyai majoriti di Parlimen dan kepercayaan rakyat.
“Saya juga akan berusaha untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada Parlimen,” katanya. – REUTERS