TEBING BARAT: Hamas mengutuk sekeras-kerasnya cadangan yang diusulkan oleh Kementerian Awam Israel yang meminta mana-mana rakyat Palestin yang didakwa melakukan kekerasan atau keganasan terhadap penduduk Yahudi perlu ditahan dan dihukum mati.
Terdahulu, Menteri Keselamatan Awam Israel, Omer Bar-Lev membuat kenyataan tersebut ketika beliau mengunjungi rumah seorang anggota polis Israel yang maut dalam satu operasi di timur Tel Aviv.
Anggota polis itu didakwa diserang seorang lelaki Palestin sebelum dia ditembak mati.
Ketua Pejabat Hal Ehwal Kebangsaan Hamas, Jasser al-Barghouti berkata, kenyataan yang dibuat oleh Bar-Lev menggambarkan ‘kesungguhan rejim Zionis untuk memburukkan status quo menerusi pertumpahan darah rakyat Palestin’.
“Kenyataan itu juga menunjukkan penentangan merupakan satu-satunya cara untuk menghalang penindasan Zionis dan melindungi negara Palestin,” katanya seperti yang dilapor PressTV.
Selain itu, Jasser juga mendesak Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk menghentikan kerjasama keselamatan dengan Israel.
Jelas beliau, tanpa kerjasama itu, Zionis tidak akan menceroboh bandar Palestin, membunuh belia Palestin, merobohkan rumah penduduk dan merampas tanah mereka.
Dalam pada itu, rakyat Palestin dilaporkan meningkatkan serangan balas terhadap tentera Israel sejak beberapa minggu lalu.
Sekurang-kurangnya 11 penduduk Yahudi dan lapan rakyat Palestin terbunuh dalam siri serangan balas yang dilakukan.
Pada 29 Mac lalu, seorang lelaki Palestin yang dikenali sebagai Diaa Hamarsheh menikam lima penduduk Yahudi termasuk anggota keselamatan Israel sebelum dia ditembak mati polis Zionis di bandar Bnei Brak di Tel Aviv.
Kejadian itu berlaku dua hari selepas dua lelaki Palestin yang bersenjata membunuh dua anggota keselamatan Israel dalam satu serangan di bandar Hadera di utara Israel sebelum mereka ditembak mati.