KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyambut baik beberapa sekatan baharu yang dikenakan terhadap Rusia susulan insiden pencerobohan Moscow ke atas negaranya.
Bagaimanapun, beliau menganggap semua sekatan dilaksanakan itu masih tidak mencukupi.
Dalam ucapan video terbaharu, Zelensky menggesa negara-negara Barat mengambil tindakan lebih drastik dengan memboikot penggunaan minyak Rusia.
Katanya, kegagalan menyokong sekatan itu meragut nyawa rakyat Ukraine.
Rusia merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar di dunia dengan lebih separuh eksportnya dihantar ke negara Eropah.
Import Rusia merangkum lapan peratus daripada jumlah permintaan minyak di United Kingdom (UK) dan tiga peratus di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Zelensky, Kremlin menjana pendapatan yang tinggi hasil eksport minyak sehingga negara itu tidak merasakan keperluan untuk mengambil serius dalam isu rundingan damai tersebut.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan terus menggesa agar bank-bank Rusia disekat sepenuhnya daripada sistem kewangan antarabangsa. – BBC