WARSAW: Tiga individu terkorban manakala lapan lagi hilang dalam dua letupan disyaki akibat gas di sebuah lombong arang batu di selatan Poland.
Syarikat yang mengendali lombong itu, SRW memaklumkan kejadian itu menerusi satu kenyataan.
“Tragedi mengerikan di lombong Pniowek di Pawlowice mengakibatkan tiga orang maut,” jelas SRW.
Terdahulu, Pengarah syarikat, Tomasz Cudny memaklumkan seramai 21 orang cedera dalam letupan itu.
“Kami tidak dapat mengesan lapan individu lagi yang bekerja di sana,” katanya.
Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan akan segera melawat lokasi kejadian.
Sementara itu, SRW memaklumkan letupan pertama berlaku pada kedalaman 1,000 meter.
Jelas syarikat tersebut, ketika kejadian, seramai 42 pelombong berada di kawasan letupan berlaku dan ramai mengalami kecederaan melecur.
Tambahnya, letupan kedua berlaku ketika anggota penyelamat sedang membantu mengeluarkan mangsa. – AFP