Rusia lancar serangan besar-besaran di Donbas

Rusia lancar serangan besar-besaran di Donbas, Ukraine buntu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Pihak berkuasa Ukraine memaklumkan Rusia melancarkan serangan secara besar-besaran ke bahagian timur negara itu sekali gus memulakan fasa baharu peperangan selepas usaha menawan Kyiv gagal. 

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, operasi ketenteraan Moscow memfokuskan semula di wilayah timur Donbas, yang sebahagian besarnya dikawal oleh kumpulan pemisah pro-Kremlin sejak 2014.

“Kami kini mengesahkan tentera Rusia telah memulakan pertempuran untuk Donbas, yang sudah lama dirancang.

“Tidak kira berapa ramai tentera Rusia dikerahkan ke sini, kami akan berjuang habis-habisan. 

“Kami akan tetap mempertahankan diri,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi Telegram.

Sebelum serangan secara besar-besaran bakal berlaku, pihak berkuasa Ukraine menggesa penduduk di Donbas melarikan diri ke barat untuk menyelamatkan diri.

“Fasa kedua peperangan sudah bermula,” kata ketua staf presiden Kyiv, Andriy Yermak.

Kawalan terhadap Donbas membolehkan Moscow mewujudkan koridor selatan ke semenanjung Crimea yang dikuasainya.

Di selatan wilayah pula, Rusia meneruskan usahanya untuk menawan bandar pelabuhan Mariupol yang dikepung dengan baki pasukan tentera Ukraine di sana memutuskan untuk terus bertahan. 

Namun, di sebalik keadaan terdesak di bandar itu, seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) mendakwa, saingan untuk mendapatkan Mariupol masih berlangsung. 

Menurut pegawai Rusia, Moscow juga menambah 11 kumpulan taktikal batalion yang merangkumi artileri, helikopter dan sokongan logistik kepada pasukannya di timur Ukraine.

Semalam, AS menghantar bantuan ketenteraan pertamanya yang tiba di sempadan Ukraine dalam usaha melawan pencerobohan Rusia.

Pada 13 April lalu, AS menghantar peralatan ketenteraan bernilai AS$800 juta (RM3.40 bilion) termasuk helikopter, kenderaan perisai dan pengangkut anggota bersenjata ke Ukraine.

 

SERANGAN SELURUH UKRAINE

Tentera Rusia juga menggempur sasaran di seluruh negara, menyaksikan sekurang-kurangnya tujuh orang di bandar Lviv terbunuh.

Sebahagian besar kawasan di Lviv terlepas daripada sasaran pengeboman sejak pencerobohan Rusia pada 24 Februari lalu, menjadikan bandar itu dan kawasan sekitarnya lokasi selamat bagi penduduk yang mencari perlindungan dari zon perang.

“Namun hari ini, kami sedar tidak ada lagi lokasi yang selamat di Ukraine.

“Ini sangat berbahaya,” kata seorang pekerja bank yang dikenali sebagai Batalia kepada AFP selepas serangan itu.

Semalam, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan pasukan tenteranya sudah melakukan serangan di 16 lokasi yang disasarkan di seluruh Ukraine.

Antara lokasi diserang merupakan sebuah depoh berhampiran Lviv, yang didakwa menyimpan senjata dihantar ke Ukraine dari AS dan Eropah. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN