MANILA: Jumlah mangsa tanah runtuh dan banjir akibat ribut tropika Megi yang melanda wilayah tengah dan selatan Filipina meningkat kepada 53 orang, hari ini.
Lapor BBC, ribut taufan itu membadai Filipina sejak Ahad lalu dengan membawa angin kencang pada kelajuan sehingga 65 kilometer sejam (km/j) dan luruan sehingga 80km/j.
Pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang terperangkap di kawasan kampung akibat banjir dengan menggali lumpur dan mengharungi air setinggi paras dada.
Kawasan perkampungan sekitar Baybay di wilayah Leyte paling teruk dilanda bencana.
Situasi itu memaksa lebih 30,000 keluarga berpindah dari kediaman mereka.
Di kampung lain di Pilar, sebanyak 80 peratus kawasan perumahan musnah dilanda ombak laut.
Lebih 100,000 penduduk di selatan dan timur Filipina terjejas akibat ribut taufan itu.










