NEW DELHI: Jabatan Meteorologi India (IMD) memaklumkan suhu di bandar itu terutamanya di kawasan Safdarjung boleh mencecah antara 43 hingga 44 darjah Celcius, 28 April depan.
Bagaimanapun, peningkatan suhu itu tidak akan menyebabkan gelombang haba di ibu negara sehingga Khamis ini, lapor India Today.
Ahad lalu, Safdarjung mencatatkan suhu maksimum 39.5 darjah Celcius melebihi paras normal dan suhu minimum 22.2 darjah Celcius.
Saintis Kanan di IMD, RK Jenamani berkata, suhu maksimum boleh meningkat sekitar 41 darjah Celcius di Safdarjung dan 42 darjah Celcius di bahagian lain ibu negara, disebabkan oleh angin barat yang panas.
Agensi cuaca meramalkan suhu berkemungkinan mencecah 42 darjah Celcius esok, dan 43 darjah Celcius menjelang Rabu di Safdarjung.
Bahagian lain di New Delhi turut diramalkan menjadi lebih panas dengan peningkatan suhu antara satu ke dua darjah Celcius.