COLOMBO: Sri Lanka kini berusaha meminta bantuan China bagi menyelamatkan negara ini keluar daripada kemelut ekonominya
Namun, meminta bantuan dari China bukanlah perkara mudah kerana Beijing pastinya mengambil langkah berjaga-jaga sebelum membuat sebarang tindakan.
Faktor itu juga dipengaruhi oleh dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa Beijing menggunakan ‘diplomasi hutang’ untuk menjadikan semua negara membangun di seluruh dunia lebih bergantung kepadanya.
Lapor South China Morning Post, krisis di Sri Lanka pula dilaporkan semakin parah apabila tunjuk perasaan besar-besaran diadakan di seluruh negara bagi mendesak Presiden Gotabaya Rajapaksa dan keluarganya meletak jawatan dalam kerajaan.
Terdahulu, Colombo mengumumkan negara ini sudah tidak mampu membayar hutang luar negara sebanyak AS$51 bilion (RM216 bilion) selepas rizab negara merosot ke paras terendah.
Kelmarin, Menteri Kewangan Sri Lanka, Ali Sabry bertemu dengan Duta China ke Colombo, Qi Zhenhong bagi membincangkan situasi ekonomi negara ini.
Zhenhong menyatakan China akan sentiasa menyokong ‘tempoh percubaan Sri Lanka untuk memulihkan semula keadaan’.
MINTA BANTUAN
Sri Lanka sebelum ini pernah meminta bantuan dari China, termasuk pinjaman dana berjumlah AS$1 bilion (RM4.2 bilion) bagi melangsaikan pembayaran balik pinjaman sedia ada dengan negara itu dan saluran kredit AS$1.5 bilion (RM6.4 bilion) untuk membeli barangan keluaran China.
Namun, setakat ini, Beijing tidak menyatakan sama ada ia bersedia atau sebaliknya untuk memberikan bantuan kewangan kepada Colombo.
CHINA KEBERATAN
Felo kanan di Universiti Kebangsaan Singapura, Ganeshan Wignaraja berkata, Beijing ‘mungkin keberatan’ untuk membantu Colombo.
“China tidak mahu menanggung lebih banyak kerugian. Jika China memberi Sri Lanka jaminan khas, negara lain yang terlibat dalam projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) juga akan meminta bantuan sekiranya mereka berdepan dengan masalah serupa.
“Namun, keputusan Colombo untuk menangguhkan bayaran hutang luar negaranya akan meletakkan tekanan terhadap Beijing untuk menjadi sebahagian daripada bantuan antarabangsa kepada Sri Lanka,” katanya.
Pensyarah Pengajian Asia Selatan di Universiti Fudan di Shanghai, Lin Minwang pula berpandangan, pandemik Covid-19 dan kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi menyebabkan China lebih berhati-hati mengenai pinjaman.
Katanya, Beijing juga tidak mahu memberi alasan kepada masyarakat antarabangsa untuk menuduh negara itu mengambil kesempatan daripada peluang hutang.
Dalam pada itu, Sri Lanka akan menghantar delegasi pegawai tertingginya, termasuk gabenor bank pusat ke mesyuarat bersama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington pada minggu depan.
Kedua-dua pihak itu dijangka berbincang mengenai penstrukturan semula hutang dan jaminan yang boleh dipersetujui.
MINTA TOLONG INDIA
Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke India, Milinda Moragoda turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan India, Nirmala Sitharaman kelmarin untuk meminta bantuan negara itu mewujudkan sokongan antarabangsa bagi penyaluran kewangan.
Setakat ini, Sri Lanka sudah menerima bantuan kewangan dari India kira-kira A$2.5 bilion (RM10.6 bilion), termasuk saluran kredit sebanyak AS$500 juta (RM2.1 bilion) pada Februari lalu untuk membeli bekalan bahan api dan AS$1 bilion (RM4.2 bilion) lagi kredit pada bulan lalu bagi mendapatkan makanan serta keperluan asas lain.
CHINA PERANGKAP SRI LANKA?
Pinjaman China kepada Sri Lanka meliputi kira-kira 10 peratus daripada jumlah hutang luar negara yang ditanggung Colombo, selain merangkumi sejumlah projek besar seperti pelabuhan Hambantota yang dipajak kepada sebuah syarikat Beijing selama 99 tahun di bawah skim pertukaran hutang untuk ekuiti.
Kumpulan pengkritik menyatakan Beijing akan menggunakan projek seperti itu untuk membebankan negara miskin seperti Sri Lanka dengan hutang dan pada masa yang sama meluaskan pengaruh geopolitiknya.
Namun, Duta Sri Lanka, Palitha Kohona menegaskan negara ini tidak terperangkap dalam skim hutang China.
Sementara itu, Wignaraja memberitahu, membantu Sri Lanka akan menjadi satu daripada cara untuk mengelakkan China dituduh melakukan perangkap hutang.
Jelas beliau, jika Beijing tidak melakukan langkah itu, maka negara tersebut akan terus kekal dilabel sebagai ‘ceti haram’.
Selain itu, beliau menegaskan China seharusnya melihat keadaan hutang yang ditanggung sesebuah negara sebelum memberikan pinjaman.










