LONDON: Spesies ikan jerung yang mempunyai racun pada bahagian tulang belakang dan boleh mendatangkan bahaya kepada manusia, ditemukan di United Kingdom (UK).
Lapor Daily Star, baka jerung yang dikenali sebagai Spiny Dogfish atau Spurdog hidup di Sungai Thames.
Memetik laporan My London, nama jerung itu dinamakan sempena duri di hadapan siripnya, yang digunakan untuk mempertahankan diri dan menyerang pemangsa.
“Ia mempunyai muncung yang tajam, mata besar, berwarna coklat kelabu di bahagian atas dengan perut lebih kecil dan deretan bintik putih di bahagian tepi,” jelas laporan itu.
Jerung Spurdog merupakan antara spesies ikan berbisa yang ditemukan di perairan UK, bersama ikan pari dan ikan Weever.
Spesies jerung itu dipercayai menggunakan Sungai Thames sebagai tapak untuk membiak di kawasan teluk dan muara yang cetek.
Walaupun jerung Spurdog tidak memakan manusia, racunnya boleh menyebabkan ketidakselesaan dan bengkak yang melampau, selain akan menyerang sekiranya diganggu.
Tahun lalu, Persatuan Zoologi London (ZSL) menerusi satu laporan mengenal pasti dua spesies jerung lain di Sungai Thames.
Dua spesies jerung itu dikenali sebagai Tope dan Starry Smoothhound.