Russia mahu tawan seluruh Donbas dan selatan Ukraine - Utusan Malaysia

Russia mahu tawan seluruh Donbas dan selatan Ukraine

PENDUDUK berjalan melepasi sebuah bangunan kediaman yang musnah akibat pencerobohan Russia di pekan Gostomel, berhampiran Kyiv di Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia merancang untuk menawan seluruh wilayah Donbas dan selatan Ukraine ketika fasa kedua operasi ketenteraan khas di Ukraine.

Kenyataan itu dibuat oleh Timbalan Komander daerah ketenteraan pusat, Rustam Minnekayev, yang disifatkan sebagai hasrat Moscow yang paling jelas mengenai Ukraine setakat ini.

Kenyataan Minnekayev itu secara tidak langsung menunjukkan Russia tidak bercadang untuk menghentikan serangannya di Ukraine dalam masa terdekat.

Memetik laporan agensi berita Interfax dan TASS, Minnekayev berkata, kawalan penuh ke atas selatan Ukraine akan meningkatkan akses Russia ke wilayah pemisah Moldova, Transdniestria. 

Wilayah Transdniestria bersempadan dengan Ukraine dan Kyiv khuatiri boleh digunakan sebagai platform pelancaran untuk serangan baharu.

“Kawalan ke atas selatan Ukraine adalah satu lagi cara ke Transdniestria di mana terdapat bukti penduduk berbahasa Russia ditindas,” jelas laporan TASS memetik Minnekayev berkata dalam satu mesyuarat di wilayah Sverdlovsk, tengah Russia.

Bagaimanapun, Minnekayev tidak mengemukakan sebarang bukti atau butiran lanjut mengenai dakwaan penindasan berlaku di Transdniestria.

Minnekayev dipetik berkata, Russia bercadang menghubungkan koridor darat antara Crimea dan Donbas di timur Ukraine.    

Agensi berita RIA melaporkan Minnekayev menyifatkan laporan media mengenai kemunduran tentera Russia adalah jauh dari sasaran.

Tambah laporan itu, beliau turut memberi amaran bahawa bedilan peluru berpandu dan serangan lain berterusan di Ukraine secara tidak langsung menunjukkan Russia mampu menyebabkan kemusnahan lebih teruk tanpa kehilangan anggota tenteranya.

Sementara itu, Kementerian Luar Moldova memaklumkan pihaknya sudah memanggil duta Russia di negara itu untuk menzahirkan kebimbangan mengenai kenyataan dibuat oleh Minnekayev. – REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN