LONDON: Presiden Russia, Vladimir Putin diyakini dapat memenangi peperangan di Ukraine walaupun objektif prapeperangan pada mulanya gagal.
Sumber pegawai kanan dari Barat memberitahu operasi ketenteraan besar-besaran Moscow sejak 24 Februari lalu menyaksikan kawasan timur Ukraine menjadi sasaran selepas gagal merampas ibu negara Kyiv.
“Putin secara jelas gagal memenuhi matlamat prapeperangan, namun, masih berada dalam kedudukan untuk menang,” kata sumber itu.
Pegawai itu berkata, kejayaan bagi Russia mungkin merupakan penyatuan kawalan ke atas Donbas dan pembinaan jambatan darat dengan Crimea.
Menurutnya, dalam senario terburuk mungkin terdapat serangan semula ke atas Kyiv.
Di sebalik kemungkinan itu, pegawai itu berkata, pencerobohan Ukraine akan kekal sebagai kesilapan strategik Rusia disebabkan kerugian besar yang dialami.
Dalam perkembangan lain, Putin mendakwa tenteranya mencapai kemenangan semasa pertempuran terbesar dan mengisytiharkan bandar pelabuhan di Mariupol ‘dibebaskan’ berikutan beberapa minggu pengeboman berlaku tanpa henti.
Amerika Syarikat bagaimanapun mempertikaikan dakwaan Putin dan percaya tentera Ukraine masih bertahan di bandar itu.
Tentera Ukraine difahamkan menolak tawaran sama ada untuk menyerah kalah atau mati.
Putin dikatakan mahu mengelak pertempuran terakhir dengan tentera Ukraine di Mariupol kerana kekurangan tentera untuk mengalahkan mereka.
Pada masa sama, pegawai Ukraine juga merayu bantuan untuk memindahkan orang awam dan tentera yang cedera.
Dalam siaran televisyen di Kremlin, Putin mengucapkan tahniah kepada menteri pertahanan dan tentera Russia atas ‘usaha pertempuran untuk membebaskan Mariupol’.
Beliau turut memaklumkan zon perindustrian yang mengandungi kilang keluli Azovstal tidak perlu diserang.
“Sekat kawasan perindustrian ini supaya seekor lalat pun tidak dapat melaluinya,” katanya. -REUTERS