KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberi amaran bahawa Rusia kini bersiap sedia ‘untuk melancarkan serangan besar-besaran’ di bahagian timur dan selatan negara ini, termasuk menawan bandar Mariupol.
Menerusi rundingan damai yang dilakukan pada minggu ini, Rusia menjelaskan mereka akan mengundurkann tentera dari Kyiv dan bandar Chernigiv.
Namun, tindakan itu diragui Ukraine dan Barat, sebaliknya mendakwa Rusia menggunakan taktik tersebut untuk mengumpulkan semula pasukan tenteranya bagi melancarkan serangan skala besar.
“Ini merupakan sebahagian daripada taktik Rusia.
“Kami sedia maklum tentera Rusia mula berundur daripada kawasan tumpuan dan beralih ke kawasan penting yang lain.
“Situasi ini amat sukar, terutamanya di selatan dan timur negara Ukraine,” katanya.
Zelensky menegaskan, Rusia mula menyusun strategi di Donbas dan Mariupol termasuk Kharkiv.
Dalam pada itu, Washington turut menzahirkan kebimbangan apabila menyatakan peperangan akan berlanjutan sekiranya Rusia mengubah strategi mereka.
Beberapa pakar ketenteraan percaya, perubahan strategi itu dilakukan kerana Moscow ‘tidak dapat mengalahkan’ tentera Ukraine di kawasan tumpuan. – AFP