MOSCOW: Rusia dilaporkan memperkukuhkan kedudukan pasukan tentera berhampiran Finland sekaligus menimbulkan spekulasi Moscow mengancam untuk menyerang negara itu.
Ia berikutan keputusan Finland mahu menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Memetik laporan Daily Mail, Presiden Vladimir Putin memberi amaran bahawa Barat akan menghadapi implikasinya sekiranya negara berkenaan bertindak `memburukkan situasi’ di Ukraine.
Amaran itu dibuat ketika pemimpin tertinggi Rusia mengancam untuk mencetuskan `gelombang pelarian’ di Eropah.
Putin menegaskan Rusia akan tetap menang di Ukraine, ketika beliau memberi amaran mengenai risiko krisis kebuluran di peringkat global akibat sekatan Barat terhadap Moscow.
Putin mendakwa ekonomi dan sistem kewangan Rusia masih menahan siri sekatan yang dikenakan oleh Barat.
Malah, beliau menegaskan tindakan Barat itu hanya `makan diri’ apabila harga barang keperluan seperti baja boleh dinaikkan sehingga mencetuskan krisis makanan dan peningkatan penghijrahan ke Barat.
Menurut Putin, operasi ketenteraannya berjalan seperti dirancang dan beliau berikrar Rusia akan menang dalam segala matlamat perangnya.
Pemimpin itu juga memaklumkan `pemikiran yang munasabah’ harus diutamakan dalam perkara ini.
Justeru, beliau menasihati Barat untuk memikirkan semula sebaik-baiknya dan membuat keputusan yang seimbang tanpa menjatuhkan air mukanya.
Putin menegaskan sekatan baharu Barat ke atas eksport berteknologi tinggi hanya akan menggalakkan Rusia untuk membangunkan teknologi baharu sekaligus membuka lebih banyak ruang dan peluang.
Komen pemimpin itu muncul ketika satu video kononnya memaparkan kenderaan Rusia membawa senjata termasuk sistem peluru berpandu menuju sempadan dengan Finland.
Ia tular beberapa jam selepas Kremlin memberi amaran kepada negara jirannya di utara supaya tidak menyertai NATO.
* PALSU SEMATA-MATA
Dalam pada itu, Putin mendakwa beberapa gambar dan rakaman mayat bergelimpangan di seluruh bandar Bucha di Ukraine adalah palsu semata-mata.
Beliau membandingkan dakwaan itu dengan tuduhan berkaitan penggunaan senjata kimia oleh rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad.
“Ia adalah berita palsu yang sama di Bucha,” kata Putin.
Sebelum ini, Presiden Belarus, Alexander Lukashenko mendakwa Britain melakukan kekejaman di bandar Bucha dengan membawa mayat dari seluruh Ukraine.
Dakwaan pemerintah itu seolah-olah menunjukkan tentera Rusia tidak mencetuskan keadaan huru-hara di beberapa bandar Ukraine ketika pasukan itu berundur.
Lukashenko mendakwa gambaran kononnya Rusia melakukan kekejaman amat diperlukan oleh Barat untuk mengekalkan justifikasi negara itu bagi mengenakan sekatan terhadap Moscow.
* LANGGAR PERJANJIAN
Sementara itu, Putin mendakwa Ukraine sudah menyimpang daripada perjanjian dipersetujui pada rundingan damai yang diadakan di Istanbul.
Katanya, rundingan antara Rusia dan Ukraine kini berada pada jalan buntu.
PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin menyampaikan ucapan ketika melawat kosmodrom Vostochny, kira-kira 180 kilometer ke utara Blagoveschensk, wilayah Amur. – AFP