Rusia dakwa berjaya tawan bandar Mariupol

Rusia dakwa berjaya tawan bandar Mariupol

ANGGOTA tentera Rusia berkawal di bangunan yang menempatkab dewan teater di Mariupol, Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Pasukan tentera Rusia dilaporkan menawan bandar pelabuhan Mariupol selepas pertempuran sengit dengan tentera Ukraine semalam.

Rusia meningkatkan serangan di beberapa bandar utama selepas kapal perang utamanya, Moskva karam dibedil peluru berpandu Ukraine di Laut Hitam.

Namun, dakwaan itu tidak dapat disahkan dan jika benar, Mariupol merupakan bandar utama Ukraine yang jatuh ke tangan Rusia sejak peperangan tercetus pada 24 Februari lalu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberitahu media tempatan bahawa situasi di Mariupol ketika ini amat sukar dengan semua tentera negara ini dikepung dan mengalami kecederaan.

Kementerian Pertahanan Rusia pula menyatakan, tentera Ukraine di Mariupol akan terselamat sekiranya mereka meletakkan senjata dan menyerah kalah.

Moscow memaklumkan, hanya segelintir kecil tentera Ukraine berada di Mariupol dan mereka kini dikepung sepenuhnya oleh tentera Rusia.

Rusia turut memaklumkan lebih 4,000 tentera Ukraine maut ketika bertempur di Mariupol.

Zelensky sebelum ini menyelar Rusia dengan menuduh negara itu cuba ‘menghapuskan semua penghuni di Mariupol, tanpa memikirkan keselamatan penduduk awam’.

Namun, beliau tidak mengulas dakwaan bahawa Rusia sudah berjaya menawan bandar tersebut sepenuhnya.

Dalam pada itu, tentera Rusia turut meningkatkan serangan di bandar Kharkiv dan Mykolaiv, beberapa jam selepas negara itu mengesahkan kapal Moskva karam selepas mengalami kerosakan teruk akibat bedilan peluru berpandu Ukraine.

Tentera Rusia sebelum ini mengukuhkan kedudukan di timur Ukraine, terutamanya di wilayah Donbas selepas menukar strategi taktikal.

Sementara itu, Kyiv memaklumkan pasukan tentera negara ini bertungkus-lumus memastikan wilayah tersebut tidak akan jatuh ke tangan Rusia. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN