NEW DELHI: Ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Ramadan dengan penuh kegembiraan, lain pula situasinya di Madhya Pradesh, India.
Rumah yang menjadi tempat perlindungan dan kedai yang merupakan sumber utama rezeki dirobohkan pihak berkuasa selepas kemuncak keganasan tercetus sejak 10 April lalu, ketika penganut Hindu menyambut festival Ram Navami.
Kumpulan perusuh dari kalangan penganut Hindu keluar ke jalan raya dan menyerang serta membuat ucapan kebencian terhadap orang Islam semasa perayaan itu di beberapa kawasan seperti Madhya Pradesh, Gujarat, Jharkhand dan Bengal Barat.
Namun, akhirnya, komuniti Islam yang dipersalahkan dan mereka ‘dipaksa untuk bertanggungjawab’ atas kekecohan yang berlaku.
Media sosial dibanjiri dengan imej jengkaut besar berwarna kuning yang melakukan kerja-kerja perobohan.
Ahli keluarga yang terjejas hanya mampu merenung nasib mereka kerana tiada apa yang mampu dilakukan untuk menghalang tindakan zalim itu.
Situasi tersebut sengaja mencetuskan kemarahan ramai kerana dilihat sebagai usaha untuk meminggirkan 200 juta orang Islam di India oleh pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi.
Modi yang mewakili parti BJP adalah pemimpin yang dilantik di kawasan Madhya Pradesh.
Saluran berita NDTV melaporkan Menteri Perumahan India, Narottam Mishra dengan angkuh berkata, sekiranya orang Islam melancarkan serangan seperti itu, tiada keadilan buat mereka.
Dalam pada itu, seorang penjual minuman ringan, Shaikh Mohammad Rafiq, 72, berkata, pihak polis berada di depan pintu rumahnya seawal pagi semasa dia sekeluarga sedang nyenyak tidur.
Katanya, selepas terdengar bunyi bising sangat kuat, dia mula merasakan seseorang sudah memecahkan pagar rumahnya.
Di luar rumah, ratusan anggota polis dengan jentolak mengepung beberapa rumah di kawasan kejiranan kecil yang didiami penduduk Islam di bandar Khargone.
Pihak polis akan menentang sesiapa yang cuba menghalang kerja-kerja perobohan dilakukan.
“Kami sangat takut dan hanya mampu memerhatikan dalam keadaan senyap semasa mereka merampas segalanya.
“Hanya sisa runtuhan yang tinggal buat kami teruskan kehidupan,” luahnya. – BBC










