Rakyat Afghanistan sambut Ramadan pertama di bawah pimpinan Taliban

Rakyat Afghanistan sambut Ramadan pertama di bawah pimpinan Taliban

PENIAGA menjual kurma semasa hari pertama berpuasa sempena Ramadan di Kabul.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Tahun ini merupakan Ramadan pertama yang disambut oleh rakyat Afghanistan di bawah kepemimpinan Taliban sejak tentera Amerika Syarikat meninggalkan negara itu tahun lalu.  

Ibadah puasa yang bererti menahan dahaga dan lapar benar-benar menguji mental penduduk apabila berdepan kenaikan harga barang, kekurangan bekalan makanan serta masalah kebuluran. 

Situasi kemanusiaan semakin ‘membimbangkan’ ditambah dengan kemerosotan ekonomi sejak pengambilalihan Taliban, Ogos lalu. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 24.4 juta rakyat Afghanistan memerlukan bantuan kemanusiaan untuk terus hidup. 

Pakar ekonomi, Osman Hamim memberitahu masalah kemiskinan semakin meningkat, pendapatan berkurangan dan kenaikan harga barang membelenggu penduduk di Afghanistan. 

Jelasnya, situasi lebih meruncing apabila ramai penduduk tidak mampu menyediakan makanan kepada ahli keluarga mereka setiap hari sepanjang Ramadan. 

Dalam pada itu, Timbalan Jurucakap Taliban, Bilal Karimi berkata, kerajaan interim Taliban yang belum diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan tidak mempunyai akses kepada rizab asing negara itu, berjanji akan membantu rakyatnya yang memerlukan semasa bulan suci ini. 

“Zaman penindasan, rasuah dan rampasan sudah berakhir. Bagi membangunkan ekonomi, Emiriah Islam Afghanistan mempunyai rancangan di dalam negara dan melakukan perbincangan dengan negara jiran serta negara lain.

“Pihak Taliban memberikan bantuan kepada ahli keluarga yang terjejas. Bantuan dibekalkan daripada sumber dalaman serta dari luar negara,” katanya.

Kebanyakan rakyat Afghanistan menaruh harapan agar janji untuk menyalurkan bantuan dipenuhi segera. 

Mereka juga berharap keamanan berkekalan sepanjang bulan ini kerana keganasan sudah menjadi kebiasaan sejak dua dekad lalu. 

 

PULIHKAN SISTEM KESIHATAN 

Dalam perkembangan lain, Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Peter Maurer menyeru masyarakat antarabangsa meningkatkan sokongan sistem kesihatan bagi memenuhi keperluan penduduk Afghanistan sepenuhnya. 

Jelasnya, kesihatan golongan ibu dan kanak-kanak akan terjejas sekiranya masyarakat antarabangsa tidak campur tangan bagi menyokong infrastruktur awam Afghanistan yang kian merosot. 

“Isu kesihatan ibu dan penjagaan pranatal lebih penting bagi wanita hamil dan bayi baru lahir. 

“Perkhidmatan kesihatan khusus di hospital yang disokong ICRC adalah penting bagi menangani kadar kematian wanita yang tinggi di Afghanistan,” katanya dalam kenyataan rasmi ICRC.  

Maurer berkata, ICRC juga melancarkan sokongan kewangan dan teknikal kepada 33 hospital dan kakitangan bagi memastikan akses rawatan perubatan secara percuma sejak November tahun lalu. 

ICRC sudah berkhidmat kepada rakyat Afghanistan menerusi Bulan Sabit Merah Afghanistan sejak 30 tahun lalu. 

Organisasi itu mempunyai lebih 1,800 kakitangan yang menyediakan pelbagai bantuan kemanusiaan termasuk penjagaan kesihatan, sokongan pemulihan, perlindungan, air dan sanitasi serta keselamatan ekonomi. 

Pasukan ICRC memberikan bantuan di pelbagai bandar seperti di Herat, Lashkar Gah, Kandahar termasuk ibu negara, Kabul. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN