BANGKOK: Plot kematian aktres Thailand, Nida ‘Tangmo’ Patcharaveerapong terus menimbulkan pelbagai persoalan selepas pengurusnya mengakui dia memberikan kenyataan palsu mengenai apa yang berlaku di atas bot pada malam pelakon itu lemas.
Lapor TheThaiger, pengurus Tangmo, Idsarin ‘Gatick’ Juthasuksaway semalam mengaku kepada polis bahawa dia memberikan kenyataan palsu kepada pasukan penyiasat.
Namun, polis enggan mendedahkan butiran kenyataan paslu tersebut.
Selepas dua jam disoal siasat polis, Gatick mengesahkan kepada media bahawa dia memberi kenyataan palsu mengenai apa yang berlaku di atas bot pada malam Tangmo lemas di Sungai Chao Phraya.
Berdasarkan pengakuan tersebut, Gatick boleh didenda tidak lebih 4,000 baht (RM504) atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Dalam pada itu, Gatick juga dilaporkan memberitahu kepada empat rakannya yang turut menaiki bot tersebut supaya menceritakan perkara sebenar kepada polis.
Gatick membuat pengakuan itu susulan seorang wanita transgender yang dikenali sebagai ‘Sand’ menyerah diri kepada polis kelmarin selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Menurut polis, Sand merupakan individu terakhir yang bersama Tangmo di atas bot tersebut apabila dia terjatuh ke dalam sungai pada malam 24 Februari lalu.
Sand sebelum ini mendakwa Tangmo memegang kakinya ketika dia cuba pergi ke tandas di belakang bot apabila bot itu tidak stabil akibat arus sungai.
Namun, polis menyifatkan kenyataan itu sebagai penipuan dan sengaja direka.
Pada bulan lalu, polis memberitahu kenyataan lima saksi berhubung kes tersebut saling bercanggah dan mereka boleh didakwa kerana memberi kenyataan palsu.
Pasukan penyelam polis sebelum ini menemukan sejumlah objek yang dipercayai terjatuh atau dibuang dari bot pada malam Tangmo lemas, iaitu gelas wain, manakala skirt putih yang dipakai aktres itu tidak dtemukan ketika mayatnya ditemukan dua hari kemudian.