SINGAPURA: Beberapa rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sanggup menetap dengan menyewa rumah di republik ini berikutan enggan berulang-alik lagi.
Memetik laporan CNA, seorang warga Malaysia dikenali Mani Alagan, 47, bercadang untuk terus menyewa di Singapura dan melawat keluarganya di Johor Bahru setiap dua minggu.
“Jika saya berulang alik antara dua negara setiap hari, saya hanya akan sampai rumah pada pukul 10 malam dan perlu bertolak ke tempat kerja seawal 4.30 pagi pada keesokan hari,” katanya.
Seorang rakyat Malaysia bernama Kalai Selvi pula memberitahu, dia masih belum membuat keputusan sama ada untuk menetap di Singapura.
Menurut Kalai, dia mengakui kos perbelanjaan ditanggungnya adalah amat tinggi di Singapura namun ia kurang memenatkan berbanding terpaksa berulang alik setiap hari.
“Saya akan tunggu dan melihat untuk dua bulan lagi, saya mahu melihat keadaan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya yang bekerja sebagai jurujual.
Bagi Azhar Samsi pula, dia memilih untuk berpindah semula ke Malaysia selepas dua tahun tinggal berjauhan dengan keluarganya.
Katanya, dia akan berulang alik dari Johor ke Singapura setiap hari untuk bekerja seperti dilakukan sebelum pandemik Covid-19.
“Cara ini membolehkan saya menjimatkan wang S$500 (RM1,563), kos sewa bilik di Singapura,” katanya.
Sempadan antara Malaysia dan Singapura dibuka kepada semua pengembara lengkap vaksinasi bermula 1 April lalu.
Ini merupakan kali pertama dalam tempoh dua tahun, orang ramai dibenarkan merentasi sempadan darat dengan sebarang bentuk pengangkutan secara bebas tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19.
Sementara itu, ejen hartanah dari ERA Realty, Alex Cheng berkata, dia menerima pertanyaan daripada beberapa warga Malaysia berhubung penamatan awal perjanjian sewa.
Katanya, pada masa sama, dia juga mendapat banyak permintaan daripada rakyat Malaysia untuk menyewa bilik di Singapura.
“Ketika sempadan negara ditutup, permintaan dari rakyat Malaysia untuk menyewa bilik di Singapura mendorong kenaikan sewa di Woodlands kira-kira 20 peratus,” katanya.