Nilai kekayaan hartawan merosot - Utusan Malaysia

Nilai kekayaan hartawan merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Nilai kekayaan hartawan yang berada dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2022 dilaporkan merosot berbanding rekod tertinggi yang dicatatkan tahun lalu.

Lapor The Guardian, penurunan itu berlaku di tengah-tengah kejatuhan dalam pasaran saham global sejak insiden pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Berdasarkan ranking majalah Forbes, bilangan hartawan di seluruh dunia menurun kepada 2,668 orang berbanding 2,755 yang dicatatkan pada tahun lalu.

Malah, nilai terkumpul kekayaan 2,668 hartawan berkenaan adalah sebanyak AS$12.7 trilion (RM53.5 trilion), lebih rendah berbanding AS$13.1 trilion (RM55.2 trilion) direkodkan pada senarai tahun 2021.

Dilaporkan, insiden pencerobohan Ukraine disusuli dengan sekatan yang dikenakan ke atas Moscow menyebabkan pasaran saham Rusia dan mata wang ruble jatuh menjunam.

Perkara itu turut menyebabkan 34 warga Rusia tersingkir daripada senarai tersebut.

Individu dari negara berstatus hartawan hampir kesemuanya menyaksikan nilai kekayaan mereka terbantut atau merosot, dengan jumlah kekayaan menurun lebih AS$260 bilion (RM1.09 trilion) berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Forbes, penurunan bilangan hartawan dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2022 adalah yang paling besar sejak krisis kewangan 2009.

Bagaimanapun, ia menyusuli peningkatan lebih 600 pada tahun 2021 apabila saham global bangkit semula daripada paras paling rendah pandemik.

Pengasas SpaceX, Elon Musk disenaraikan sebagai individu paling kaya di dunia buat pertama kali dengan nilai kekayaan sebanyak AS$219 bilion (RM923.5 bilion).

Jumlah kekayaan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu melonjak sebanyak AS$68 bilion (RM286.7 bilion) berbanding tahun sebelumnya disebabkan harga saham pengeluar kereta melambung tinggi.

Pengasas Amazon, Jeff Bezos menduduki tempat kedua dalam senarai tersebut, dengan nilai kekayaan sebanyak AS$171 bilion (RM721 bilion) disebabkan penurunan dalam harga saham syarikat dan sumbangan kepada badan amal.

Sumbangan dilakukan Bezos dianggarkan berjumlah AS$1.5 bilion (RM6.32 bilion), lebih rendah jika dibandingkan dengan bekas isterinya, MacKenzie Scott yang sudah memberikan sebanyak AS$12.5 bilion (RM52.7 bilion) kepada lebih 1,250 organisasi dalam tempoh dua tahun.

Secara keseluruhan, seramai 329 individu tercicir daripada Senarai Bilionair Dunia Forbes 2022 termasuk 169 hartawan baharu yang menyertai ranking itu, tahun lalu.

Antara individu terkeluar daripada senarai itu adalah pemilik syarikat basikal senaman, Peloton John Foley dan aplikasi temu janji Bumble, Whitney Wolfe Herd.

Kira-kira 236 muka baharu menyertai senarai bilionair itu buat pertama kali.

Antara individu itu termasuk penyanyi pop Rihanna, pengarah filem Lord of the Rings, Peter Jackson dan ahli perniagaan warga Amerika, Joshua Kushner.

Individu dari Barbados, Bulgaria, Estonia dan Uruguay pula meraih gelaran pertama hartawan.

AS masih mempunyai ramai hartawan berbanding negara lain iaitu 735 orang, meningkat berbanding 724, tahun lalu.

China kekal berada di tempat kedua dengan 607 orang termasuk dari Hong Kong dan Macau, diikuti India (166), Jerman (134) dan Rusia (83)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya