LONDON: Satu kajian baharu menunjukkan tahap pencemaran udara di kebanyakan bandar utama di Eropah meningkat pada bulan lalu.
Malah,kadar pelepasan nitrogen dioksida (NO2) paling tinggi direkodkan di bandar Newcastle upon Tyne.
Memetik laporan Daily Mail, kajian itu dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari syarikat teknologi tenaga bersih, Airly.
Pakar saintis itu menggunakan penderia dan algoritma dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengkaji unsur NO2 dan partikal udara (PM10) pencemaran udara di seluruh bandar Eropah.
Kajian tersebut mendapati tahap kandungan NO2 di Newcastle upon Tyne adalah 44.6 mikrogram dalam setiap meter padu udara (µg/m3).
Bandar itu mencatatkan 179 peratus, melebihi had kualiti udara yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam tempoh 24 jam.
Bandar Naples dan Paris juga didapati mempunyai tahap kandungan NO2 yang tinggi dengan masing-masing merekodkan 170 peratus dan 165 peratus daripada had disyorkan WHO.
Sementara itu, menurut Airly, peningkatan pencemaran udara sebahagian besar dipengaruhi oleh ribut debu gurun Sahara yang tersebar secara meluas ke seluruh Eropah.
Jelas firma itu, debu dan faktor lain seperti tekanan tinggi serta kekurangan angin turut mengakibatkan tahap pencemaran udara di selatan, barat Eropah lebih tinggi berbanding Eropah tengah.
“Kajian ini menunjukkan kira-kira 99 peratus populasi dunia menghirup udara melebihi had kualiti udara WHO dan ia mengancam kesihatan mereka,” kata jurucakap Airly, Marcin Gnat.










