KYIV: Pesawat kargo Antonov AN-225 milik Ukraine yang musnah dalam serangan Rusia, kini hanya tinggal kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh penggemar kapal terbang di seluruh dunia.
Lapor CNN, pesawat AN-225 dibina pada tahun 1980-an untuk mengangkut kapal angkasa Soviet.
Ia mendapat peluang kedua selepas Perang Dingin sebagai pesawat kargo terbesar dunia dengan mencapai pelbagai jenis rekod, sebelum tentera Rusia memusnahkan kapal terbang utama penerbangan Ukraine itu di lapangan terbang Antonov di Hostomel berhampiran Kyiv.
“Mimpi tidak akan mati,” kata syarikat Antonov dalam satu ciapan di Twitter yang merujuk kepada nama samaran pesawat itu, Mriya yang bermaksud mimpi dalam bahasa Ukraine.
Ucapan solidariti daripada pengguna Twitter di seluruh dunia turut membanjiri platform media sosial itu.
Dalam pada itu, wartawan CNN, Vasco Cotovio berpeluang melihat bangkai pesawat AN-225 dengan lebih dekat ketika melawat lapangan terbang Hostomel pada awal bulan ini bersama beberapa rakan sekerja lain dan Polis Negara Ukraine.
Katanya, keadaan pesawat itu menunjukkan AN-225 mungkin tidak dapat dibaiki lagi.
“Bahagian depan (muncung) pesawat musnah sepenuhnya, seolah-olah menjadi mangsa serangan artileri secara langsung.
“Selain itu, terdapat kerosakan besar pada sayap dan enjin pesawat. Bahagian hujung ekor pula terlepas daripada hentaman kuat namun mempunyai beberapa lubang disebabkan oleh sama ada serpihan atau peluru.
“Sekiranya hentaman tidak terkena pada bahagian depan AN-225, ia mungkin boleh dibaiki lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang jurutera dan pakar penerbangan yang pernah bekerja untuk Syarikat Antonov sejak 1987, Andrii Sovenko menilai kerosakan AN-225 dengan melihat sejumlah besar rakaman video dan gambar bangkai pesawat.
Sovenko mengesahkan bahagian tengah fiuslaj dan bahagian depan pesawat termasuk kokpit dan ruang rehat anak kapal musnah.
Katanya, sistem dan peralatan dalam kapal yang mengalami kerosakan paling teruk.
“Agak sukar untuk membaiki semula pesawat tersebut kerana kebanyakan sistem komponen, pam dan penapis yang digunakan pada AN-225 adalah dari tahun 1980-an.
“Komponen itu tidak dihasilkan lagi, jadi tidak mungkin pesawat itu dapat dibaiki kepada keadaan asalnya,” katanya.