JAKARTA: Menteri Perhubungan Budi, Karya Sumadi meminta orang ramai pulang ke kampung lebih awal pada 23 April ini, bagi mengelakkan kesesakan trafik pada waktu puncak.
Beliau berkata, waktu puncak bagi perjalanan pulang ke kampung dijangka pada 28 hingga 29 April depan, lapor Kompas.com.
“Dulu kita minta orang ramai pulang ke kampung bermula 25 April, sekarang kita minta mereka pulang lebih awal pada 23 April ini,” katanya.
Menurut Budi, berdasarkan tinjauan oleh Kementerian Perhubungan, kira-kira 85.5 juta orang dijangka pulang ke kampung bagi menyambut perayaan Aidilfitri tahun ini.
Jelasnya, sebanyak 47 peratus akan menggunakan jalan darat sama ada menggunakan kenderaan peribadi atau bas.
Dalam data sama, Budi berkata, sekitar 14.3 juta orang akan bergerak dari Jabodetabek.
“Jumlah itu meningkat 45 peratus berbanding 2019 sebelum pandemik Covid-19.
“Oleh itu, kita berusaha mengesan lokasi yang berpotensi mengalami kesesakan terutamanya dari Jakarta menuju ke Semarang paling sesak,” katanya.
Budi memaklumkan pihaknya akan membuat penyelarasan dengan pihak polis bagi menetapkan beberapa peraturan sepanjang pulang ke kampung.
Katanya, langkah itu bertujuan mengawal kepadatan kenderaan semasa waktu puncak.










