MOSCOW: Tentera Rusia dijangka menawan bandar Mariupol dalam masa terdekat selepas Ukraine dikatakan mahu mengadakan rundingan bagi menyelamatkan tentera dan orang awam di sana.
Ketua Republik Chechnya di Rusia, Ramzan Kadyrov berkata, pihak tentera sedia menawan bandar itu pada bila-bila masa.
“Azovstal akan dikuasai sepenuhnya oleh Tentera Persekutuan Rusia,” katanya lapor Reuters.
Mariupol merupakan bandar terbesar yang bakal dirampas Rusia sejak pencerobohan ke Ukraine lapan minggu lalu.
Berpuluh-puluh penduduk berjaya meninggalkan bandar pelabuhan strategik itu sejak Rabu lalu menggunakan bas kecil.
Komando Marin Ukraine, Serhiy Vlony berkata, pejuang di kawasan itu mungkin tidak dapat bertahan lama.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, dianggarkan 1,000 orang awam mencari perlindungan di kawasan itu.
Perunding, Mykhailo Podolyak dalam ciapan Twitter memaklumkan Ukraine bersedia mengadakan ‘rundingan khas’ tanpa syarat bagi menyelamatkan golongan berhaluan kanan, batalion Azov, tentera, orang awam, kanak-kanak serta individu yang mengalami kecederaan.
Jelasnya, Kyiv mencadangkan proses pertukaran banduan perang Rusia dengan rakyat dan askar Ukraine yang terperangkap.
Sehingga kini, belum diketahui sama ada Rusia sudah memberikan maklum balas mengenai tawaran khas rundingan tersebut.
Sejak pencerobohan Moscow 24 Februari lalu, lebih lima juta penduduk Ukraine menjadi pelarian dan menyelamatkan diri ke negara lain.-REUTERS