Mahu redakan krisis, Presiden Sri Lanka singkir keluarga dari Kabinet

Mahu redakan krisis, Presiden Sri Lanka singkir keluarga dari Kabinet

ORANG ramai berhimpun di luar pejabat Gotabaya Rajapaksa bagi mendesaknya meletak jawatan di Colombo, Sri Lanka. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Presiden Sri Lanka menggugurkan tiga ahli keluarganya daripada barisan Kabinet susulan kemarahan orang ramai terhadap pentadbirannya yang didakwa menyebabkan negara ini terjerumus ke dalam krisis ekonomi terburuk.

Gotabaya Rajapaksa yang mempengerusikan mesyuarat selepas bantahan rakyat selama beberapa minggu sehingga mencetuskan rusuhan kini bersiap sedia untuk mendapatkan bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Berpuluh-puluh ahli politik menentang pentadbiran Rajapaksa, selain parti pembangkang sebulat suara menolak pelawaan untuk membentuk kerajaan perpaduan daripada presiden.

Siri tunjuk perasaan yang dilakukan rakyat di seluruh negara juga menyaksikan Rajapaksa didesak supaya meletak jawatan segera bagi memulihkan keadaan di Sri Lanka.

Semalam, seramai 17 Ahli Parlimen Sri Lanka mengangkat sumpah sebagai menteri ketika negara itu berdepan ketidakstabilan politik dan krisis ekonomi terburuk.

Sebelum pelantikan itu, Rajapaksa mahu menteri yang dipilih terdiri daripada Ahli Parlimen yang lebih muda.

Kabinet baharu itu mengekalkan Perdana Menteri, Mahindra Rajapaksa yang juga merupakan abang kepada Gotabaya, namun menyingkirkan ketua puak pemerintah Sri Lanka, Chamal dan bekas menteri kewangan, Basil daripada kerajaan.

Anak lelaki sulung Mahindra, Namal yang mengetuai kementerian sukan turut digugurkan.

Kabinet yang dianggotai 21 menteri itu bagaimana pun kurang tujuh orang berbanding Kabinet sebelumnya apabila sejumlah menteri meletak jawatan beramai-ramai ‘bagi meredakan kemarahan rakyat’.

Ketika ini, Sri Lanka bertungkus-lumus mahu mendapatkan bantuan kewangan sebanyak tiga hingga empat bilion dolar daripada IMF bagi mengatasi krisis yang berlaku. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN