Lebih 20,000 penduduk Mariupol didakwa maut - Utusan Malaysia

Lebih 20,000 penduduk Mariupol didakwa maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Datuk Bandar Mariupol mendakwa lebih 20,000 orang awam maut di bandar itu sejak insiden pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Menurut Vadym Boychenko, lebih 100,000 penduduk yang masih terperangkap di bandar dikepung tentera Russia itu, `merayu untuk diselamatkan’.

“Saya ingin menegaskan perkara itu sekali lagi.

“Malangnya, selama dua hari berturut-turut, tentera Russia mengganggu proses pemindahan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, gabenor Donetsk, Pavlo Kyrylenko berkata, lima orang awam terbunuh dan lima lagi cedera di wilayah timur ketika rakyat Ukraine menyambut perayaan Paskah Ortodoks.

Di timur Ukraine pula, pejabat pendakwa raya Kharkiv melaporkan seorang wanita terbunuh dan seorang lelaki cedera terkena serpihan letupan bom.

Sementara itu, Daily Mail melaporkan serangan peluru berpandu Ukraine dipercayai membedil dua depoh bahan api di bandar Bryansk di Russia.

Kemudahan itu dikatakan membekalkan bahan api kepada tentera Russia di Donbass dan negara lain di Eropah.

Perkhidmatan kecemasan mengesahkan kebakaran berlaku di Depoh Minyak Transneft-Druzhba dan sebuah lagi kemudahan berhampiran pangkalan tentera yang mempunyai tangki simpanan minyak.

Menurut kenyataan, anggota bomba sudah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Bryansk, terletak kira-kira 112.6 kilometer (km) dari sempadan Ukraine, berfungsi sebagai hab logistik untuk tentera Russia yang berusaha menawan wilayah Donbas, timur Ukraine.

Dilaporkan, saluran paip Druzhba merupakan laluan utama minyak Russia ke negara-negara Eropah.

Setakat ini, Ukraine masih belum memberi maklum balas mengenai letupan tersebut namun insiden itu berlaku selepas beberapa siri letupan di Russia yang menyasarkan hab logistik tersebut. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN