LONDON: Pakar mendakwa lonjakan penumpang semasa cuti Easter, kakitangan jatuh sakit akibat Covid-19 dan isu peletakan jawatan baru-baru ini mencetuskan keadaan huru-hara di beberapa lapangan terbang.
Lapor Daily Mail, pemandu kenderaan juga berdepan masalah akibat kelewatan di pelabuhan Dover dan gangguan kereta api di Terowong Channel.
Ini berikutan gangguan besar-besaran berlaku selama seminggu lalu, dengan lebih 1,100 penerbangan dibatalkan di seluruh United Kingdom (UK).
Sehingga 3 April lalu, sebanyak 1,143 penerbangan dari dan ke UK dibatalkan berbanding 197 penerbangan bagi minggu sama pada tahun 2019.
Berdasarkan data dari Cirium, angka terkini menunjukkan British Airways membatalkan sebanyak 662 penerbangan.
EasyJet pula dilaporkan membatalkan 357 penerbangan pada minggu lalu.
Namun, sebahagian kecil data dikemukakan itu adalah berdasarkan pembatalan sebelum ini dan penerbangan diberhentikan beberapa bulan lalu.
Beberapa gambar menunjukkan barisan panjang di kaunter daftar masuk di lapangan terbang Heathrow, dengan pengendali lapangan terbang menyalahkan lonjakan besar dalam penumpang.
Malah, gambar dirakam di Lapangan Terbang Manchester pula menunjukkan penumpang sedang beratur panjang untuk melalui kaunter imigresen.
Sementara itu, menurut pengendali lapangan terbang Heathrow, jumlah penumpang kini sudah mencapai tahap prapandemik, dengan Sabtu lalu merupakan cuti sekolah pertama sejak permulaan pandemik tanpa sekatan perjalanan di England.
Pengendali di Gatwick memaklumkan bilangan penumpang kembali ‘normal’ seperti tahun 2019 di lapangan terbang Sussex dan beberapa kaunter daftar masuk masih mampu mengatasi isu peningkatan penumpang dengan baik.
Pengendali Lapangan Terbang Manchester berkata, pihaknya menyaksikan peningkatan sebanyak 1,300 peratus dalam jumlah penumpang pada Februari lalu berbanding tahun sebelumnya apabila UK melaksanakan perintah berkurung.