LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson didenda kerana menghadiri sebuah parti hari jadi ketika pelaksanaan perintah berkurung akibat pandemik Covid-19.
Lapor BBC, Johnson mengesahkan sudah membayar denda tersebut kerana melanggar peraturan perintah berkurung Covid-19 dengan menghadiri perhimpunan sosial itu yang dianjurkan di pejabat dan kediaman pemimpin itu, 19 Jun 2020.
Menteri Kewangan, Rishi Sunak juga dikenakan tindakan serupa.
“Isteri kepada perdana menteri, Carrie Johnson mengesahkan sudah membayar denda berkaitan acara yang sama,” jelas laporan itu.
Johnson meminta maaf, namun menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan berhubung insiden itu.
Denda itu dikenakan sebagai sebahagian siasatan Polis Metropolitan ke atas parti sosial yang melanggar peraturan perintah berkurung di Downing Street.
Isu denda Johnson menjadikannya sebagai perdana menteri masih berkhidmat yang pertama di United Kingdom (UK) dihukum kerana melanggar undang-undang.
Ketua pembangkang parti Buruh, Keir Starmer, Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon dan Menteri Pertama Wales, Mark Drakeford antara pemimpin yang menggesa Johnson dan Rishi meletak jawatan.
Malah, semua parti pembangkang utama di Westminster menggesa sidang Parlimen diadakan.
Polis Metropolitan sedang menyiasat 12 perhimpunan yang didakwa melanggar undang-undang di seluruh Whitehall.
Setakat ini, lebih 50 denda sudah dikenakan.
Sementara itu, jurucakap kepada Carrie mengesahkan beliau sudah menerima dan membayar denda yang dipercayai sebanyak 50 pound (RM274.69) kerana menghadiri parti hari jadi.