SARAJEVO: Seorang maut dan sekurang-kurangnya tiga cedera selepas gempa bumi berukuran 5.7 magnitud melanda Bosnia-Herzegovina.
Gempa bumi itu berlaku kira-kira pukul 11.07 malam (waktu tempatan) dan gegaran dirasai di seluruh negara, Balkans, Crotia, Serbia dan Montenegro.
Memetik laporan Radio Free Europe, Pengarah Hospital Safet Mujic Cantonal di Mostar, Kazimir Raguz mengesahkan mangsa maut di bandar Stolac.
“Wanita itu ditemukan di bawah runtuhan selepas sebahagian cerun bukit runtuh susulan gempa itu.
“Mangsa sudah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital,” katanya.
Sementara itu, Raguz memaklumkan tiga mangsa mengalami kecederaan di kepala.
“Mangsa mengalami kesan calar, tangan terseliuh ketika melarikan diri dari rumah semasa gempa bumi berlaku.
“Ada mangsa turut mengalami kecederaan ringan di kepala akibat objek terjatuh atas rumah, mereka dibenarkan keluar wad selepas menerima rawatan,” katanya.










