LVIV: Rusia mendakwa Ukraine melancarkan serangan udara terhadap depoh bahan api di bandar Belgorod semalam, dengan Kremlin memberi amaran tindakan itu boleh ‘memusnahkan rundingan damai yang diusahakan’.
Namun, pihak berkuasa Ukrain sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, dua helikopter tentera Ukraine menyerang depoh tersebut di Belgorod yang terletak 35 kilometer dari sempadan Ukraine.
Kementerian itu mendakwa helikopter Ukraine menceroboh ruang udara Rusia pada altitud rendah kira-kira pukul 5 pagi waktu Moscow.
Serangan itu dilaporkan menyebabkan kebakaran besar sehingga sejumlah penduduk terpaksa dipindahkan.
Belgorod merupakan satu daripada hab logistik utama Rusia untuk perang.
Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Ukraine, Oleksiy Danilov menegaskan, Rusia perlu menilai semula dakwaan tersebut.
“Untuk beberapa alasan, Rusia menuduh Ukraine yang melakukan serangan itu. Namun, berdasarkan maklumat diperoleh, ternyata Ukraine tidak melakukannya,” katanya.
Sebelum itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine, Oleksandr Motuzyanyk menyatakan beliau enggan mengesahkan atau menafikan peranan Ukraine dalam serangan tersebut.
“Ukraine kini giat menjalankan operasi pertahanan terhadap pencerobohan Rusia dan ini tidak bermaksud negara ini bertanggungjawab bagi setiap kemalangan di Rusia,” ujarnya.
Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memaklumkan, Presiden Vladimir Putin sudah pun diberi taklimat mengenai kejadian tersebut. – REUTERS