KYIV: Moscow dilihat seperti tidak akan memberi muka kepada Ukraine susulan serangan di timur Ukraine bakal menjadi detik penentu kemenangan.
Situasi itu dapat dilihat apabila Rusia melancarkan serangan ke atas beberapa bandar dan pekan di sepanjang sempadan negara tersebut.
Moscow dilaporkan turut menambah lebih ramai tentera ke Ukraine dalam pertempuran penting
untuk menguasai kawasan perindustrian utama lombong arang batu dan kilang di bahagian timur negara itu.
Sekiranya berjaya, serangan Rusia di Donbas akan ‘membelah’ Ukraine menjadi dua bahagian serta memberi kemenangan kepada Presiden Vladimir Putin selepas usaha Moscow untuk menawan Kyiv gagal.
Memetik laporan agensi berita AP, serangan maut berlaku di bandar Kharkiv dan Kramatorsk yang terletak berhampiran sempadan Rusia.
Menurut Rusia, pasukan tenteranya menyerang kawasan sekitar Zaporizhzhia dan Dnipro di barat Donbas dengan menggunakan peluru berpandu.
Gabenor wilayah Mykolaiv mendakwa beberapa letupan kedengaran di bandar selatan negara itu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Jeneral Igor Konashenkov berkata, tentera Moscow mengebom beberapa lokasi ketenteraan Ukraine termasuk depoh penyimpanan peluru berpandu yang terletak di dalam atau berhampiran bandar atau perkampungan.
Dalam fasa baharu peperangan itu, Rusia memulakan serangan di sepanjang sempadan kira-kira 480 kilometer (km) dari timur laut Ukraine ke bahagian tenggara negara itu.
Tentera Ukraine berkata, Rusia cuba ‘memecahkan pasukan pertahanan di sepanjang hampir keseluruhan sempadan’.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, tentera Rusia menggunakan segala kekuatannya dalam pertempuran itu dengan kebanyakan pasukannya itu kini tertumpu di Ukraine dan seberang sempadan Rusia.
Beberapa minggu lalu, Kremlin mengisytiharkan matlamat utamanya adalah menawan Donbas, yang sebahagian besarnya dikawal oleh kumpulan pemisah pro-Moscow sejak 2014.
Kemenangan Rusia di Donbas akan mengakibatkan Ukraine kehilangan beberapa aset industri tertumpu di wilayah itu termasuk lombong, kilang logam dan peralatan berat.
TAMBAH TENTERA
Sementara itu, seorang pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat (AS) berkata, Rusia menambah dua lagi unit tempur dikenali sebagai kumpulan taktikal batalion di Ukraine dalam tempoh 24 jam.
Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan unit tempur meningkat kepada 78 di selatan dan timur berbanding 65 batalion sebelum ini.
KATA DUA BAHARU
Rusia memberi kata dua baharu kepada tentera Ukraine untuk menyerah diri dan meletakkan senjata mereka selepas amaran sebelum ini diabaikan.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, tentera yang berbuat demikian akan dibenarkan hidup
dan diberi rawatan perubatan.
Setakat ini tiada maklum balas dari tentera Ukraine, namun mereka sebelum ini berikrar untuk berjuang habis-habisan mempertahankan bandar pelabuhan Mariupol.
Seorang komander dalam batalion nasionalis Azon, Sviatoslav Palamar berkata, tentera Rusia menjatuhkan bom berat ke atas sebuah kilang keluli dan menyasarkan hospital berhampiran.
“Kami sedang menarik keluar mangsa dari bawah runtuhan,” katanya kepada Radio Liberty.
Bekas gabenor wilayah Donetsk, Serhiy Taruta yang juga merupakan warga Mariupol mengesahkan insiden pengeboman hospital itu.