KRAMATORSK: Pihak berkuasa Ukraine menemukan lebih 1,200 mayat dalam sejumlah kubur besar di beberapa perkampungan di Kyiv, ketika penduduk di timur negara ini digesa melarikan diri susulan jangkaan berlakunya serangan besar-besaran oleh Rusia.
Sehingga semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sebanyak 4,232 kematian melibatkan penduduk awam direkodkan di Ukraine.
Jumlah kematian itu bertambah susulan insiden pengeboman secara besar-besaran pada hujung minggu lalu dengan serangan terkini meragut dua lagi nyawa di timur laut Kharkiv yang merupakan bandar kedua terbesar Ukraine.
Gabenor Kharkiv, Oleg Sinegoubov berkata, serangan itu berlaku sehari selepas 10 orang awam, termasuk kanak-kanak terbunuh dalam pengeboman di tenggara bandar itu.
Di Dnipro, serangan peluru berpandu tentera Rusia hampir memusnahkan lapangan terbang tempatan, selain menyebabkan kematian yang belum dapat dikenal pasti jumlahnya.
Dalam pada itu, pendakwa raya Ukraine, Iryna Venediktova mengesahkan seramai 1,222 mayat ditemukan di sekitar Kyiv dalam beberapa kubur besar.
Selain itu, jumlah kematian juga meningkat di timur Ukraine susulan serangan peluru berpandu di stesen kereta api di Kramatorsk pada jumaat lalu, menyaksikan 57 orang terbunuh.
Sementara itu, serangann udara Rusia berjaya menyekat konvoi kemaraan tentera Ukraine di lokasi yang tidak didedahkan.
Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Pertahanan Rusia yang dipetik oleh agensi berita Interfax.
“Serangan udara tentera Rusia yang menggunakan helikopter perang KA-52 berjaya memusnahkan senjata dan peralatan ketenteraan Ukraine,” menurut kementerian terbabit.
Selain itu, pihak berkuasa Rusia juga menunjukkan helikopter perang mereka melancarkan tembakan ke arah sasaran. – AFP