Ukraine tuduh Rusia cabuli gencatan senjata, pemindahan penduduk ditangguh - Utusan Malaysia

Ukraine tuduh Rusia cabuli gencatan senjata, pemindahan penduduk ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Pihak berkuasa di bandar pelabuhan Mariupol mendakwa proses pemindahan penduduk ‘tertangguh’ kerana pasukan tentera Rusia mencabuli gencatan senjata separa yang dipersetujui sebelum ini.

Menerusi satu kenyataan, pihak berkuasa tempatan memaklumkan, tentera Rusia terus melancarkan serangan sehingga menyebabkan proses memindahkan penduduk tidak dapat dilakukan dengan lancar.

Jelas kenyataan itu, keadaan tersebut menyebabkan penduduk berasa takut untuk keluar dari rumah dan akhirnya tidak mahu berpindah.

“Tentera Rusia nampaknya mencabuli gencatan senjata yang dipersetujui. Mereka masih melancarkan serangan.

“Sehubungan itu, proses pemindahan penduduk terpaksa ditangguhkan bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku,” menurut kenyataan itu.

Mariupol yang terletak di selatan Ukraine mempunyai kira-kira 450,000 penduduk dan menjadi antara bandar paling banyak berlaku pertempuran antara tentera Rusia dan Ukraine.

Semua penduduk di bandar itu dibenarkan berpindah dalam tempoh lima jam bermula pukul 9 pagi waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia).

“Kami meminta penduduk Mariupol supaya berlindung di mana-mana tempat yang selamat ketika ini dan maklumat lanjut akan disalurkan kepada anda semua.

“Ketika ini, rundingan akan dilakukan dengan Rusia bagi memastikan koridor kemanusiaan ini berjalan lancar,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, Rusia dan Ukraine bersetuju melaksanakan gencatan senjata separa di Mariupol dan Volnovakha bagi membolehkan penduduk awam berpindah ke kawasan selamat menerusi koridor kemanusiaan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN