LVIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mempersoalkan mengapa Israel tidak boleh menghantar sistem pertahanan peluru berpandu ke negara ini bagi menentang kemaraan tentera Rusia.
“Semua orang tahu sistem peluru berpandu anda (Israel) adalah yang terbaik dan sudah tentu anda mampu membantu rakyat Ukraine, terutamanya Yahudi Ukraine.
“Kami boleh tanya mengapa kami tidak mendapat sebarang tindak balas mengenai senjata dari Israel? Mengala Israel juga tidak kenakan sekatan berat terhadap Rusia? Soal Zelensky ketika melakukan panggilan video dengan Parlimen Israel.
Beliau menegaskan, sistem Iron Dome milik Israel sering digunakan untuk memintas roket yang dilancarkan oleh pejuang Hamas di Gaza.
“Walaubagaimanapun, pilihan terletak di tangan anda wahai saudara kami semua dan anda akan hidup dengan jawapan itu,” katanya.
Israel yang diwakili oleh Menteri Luarnya, Yair Lapid berkata, Israel sudah pun menghantar bantuan kemanusiaan dan hospital lapangan kepada Ukraine.
Jelas beliau, Israel akan cuba membantu Ukraine ‘semampu yang boleh’.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett pernah mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada dua minggu lalu di Moscow sebelum menghubungi Zelensky.
Namun, sehingga kini, beliau tidak membuat sebarang kenyataan berhubung pertanyaan yang diusulkan Zelensky.
ENGGAN MENGALAH
Dalam pada itu, Ukraine menolak sekeras-kerasnya untuk meletakkan senjata dan menyerahkan bandar pelabuhan Mariupol kepada Rusia biarpun bandar itu sudah dikepung sepenuhnya.
“Tiada rundingan boleh dilakukan untuk kami meletakkan senjata dan kami sudah maklumkan kepada Rusia bahawa kami sesekali tidak akan menyerah kalah,” kata Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk.
Rusia sebelum ini memberi tempoh kepada tentera Ukraine supaya meletakkan senjata dan menyerahkan Mariupol sebelum pukul 5 pagi waktu tempatan (11 pagi Malaysia) semalam.
“Kami menggesa semua pasukan tentera Ukraine supaya meletakkan senjata dan keluar dari Mariupol menerusi koridor kemanusiaan yang dipersetujui sebelum ini,” kata Mikhail Mizintsev yang merupakan Ketua Pusat Pertahanan Kebangsaan Rusia.
Kementerian Pertahanan Rusia menerusi Telegram turut menggesa pihak berkuasa Mariupol supaya ‘memudahkan keadaan’.
“Anda yang boleh buat keputusan ketika ini, sama ada ingin bersama rakyat atau bersama penjenayah’.
Mariupol merupakan satu daripada sasaran utama tentera Rusia.
Bandar itu sudah pun dikepung sepenuhnya sejak beberapa hari lalu, selain pertempuran antara kedua-dua tentera saling berlaku.
Rusia memaklumkan, koridor kemanusiaan akan mula dibuka pada pukul 10 pagi (4 petang waktu Malaysia) sekiranya Ukraine bersetuju untuk meletakkan senjata.
RUNDINGAN JALAN TERBAIK
Zelensky mengakui bahawa rundingan dengan Rusia merupakan satu-satunya jalan terbaik untuk mengakhiri peperangan yang berlaku.
Katanya, beliau dan Putin sahaja yang boleh mencapai kata putus, sama ada untuk menghentikan peperangan atau meneruskannya.
“Saya sudah bersedia berjumpa dengan Putin dan tanpa rundingan, kami tidak boleh menamatkan peperangan ini.
“Jika ada satu peratus peluang untuk hentikan semua ini, kami akan ambil segera. Dialog merupakan satu-satunya jalan keluar dan hanya melibatkan saya dengan Putin,” tegasnya.
Zelensky memberi amaran, sekiranya rundingan itu gagal, maka Perang Dunia Ketiga akan benar-benar berlaku dan mencadangkan pertemuannya dengan Putin diadakan di Baitulmuqaddis.
KEBOCORAN AMMONIA
Sementara itu, penduduk di pekan Novoselytsya di utara Ukraine digesa mendapatkan perlindungan segera selepas kebocoran ammonia dikesan di sebuah kilang kimia.
Gabenor wilayah Sumy, Dmytro Zhyvytsky berkata, berlaku kebocoran ammonia di kilang Sumykhimprom yang mengeluarkan baja, sekali gus menjejaskan kawasan dalam radius 2.5 kilometer.
Punca kebocoran masih belum dikenal pasti. – AFP/REUTERS