KYIV: Pihak berkuasa Ukraine sedang berusaha memindahkan penduduk menerusi enam laluan koridor kemanusiaan termasuk di bandar pelabuhan Mariupol di selatan negara itu.
Lapor Al Jazeera, perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menterinya, Iryna Vereshchuk menerusi satu rakaman video.
Menurut beliau, tentera Ukraine bersetuju menghentikan serangan di kawasan itu dari pukul 9 pagi hingga 9 malam (waktu tempatan).
Vereshchuk menggesa tentera Rusia memenuhi komitmen mereka terhadap gencatan senjata.
Katanya, laluan koridor kemanusiaan akan dibuka dari Mariupol ke Zaporizhzhia; Enerhodar ke Zaporizhzhia; Sumy ke Poltava; Izyum ke Lozova dan Volnovakha ke Pokrovsk.
“Koridor itu akan dibuka dari beberapa bandar sekitar Kyiv seperti Vorzel, Borodyanka, Bucha, Irpin dan Hostomel ke ibu negara Ukraine,” katanya.
Sementara itu Pentagon menuduh Rusia merekrut rakyat Syria dan sejumlah anggota pemberontak dari negara lain untuk mempertingkatkan serangan di Ukraine.
Rusia sebelum ini membantu Syria di bawah pentadbiran Presiden Bashar al-Assad untuk memerangi kebangkitan kumpulan pemberontak, menyaksikan negara itu berperang selama lebih sedekad.
Jabatan Pertahanan AS mendakwa Presiden Rusia, Vladimir Putin ‘menjalankan misi merekrut’ untuk membawa masuk sejumlah anggota kumpulan pemberontak ke Ukraine.
Wall Street Journal yang memetik sumber kerajaan melaporkan, Rusia berharap ‘kehadiran kumpulan pemberontak’ itu dapat membantu Moscow menawan Kyiv.
Beberapa sumber mendedahkan sejumlah anggota kumpulan pemberontak Syria sudah pun berada di Ukraine ketika ini.
Namun, pihak berkuasa AS tidak dapat memastikan jumlahnya.